TAHNIAH DATUK SERI!!!

TAHNIAH diucapkan kepada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam kerana diberi kepercayaan untuk terus memimpin UMNO Melaka. Warga Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai, DUN Serkam merasa bangga dengan kepercayaan ini daripada kepimpinan tertinggi UMNO.Memang telah dijangkakan perkara ini akan berlaku kerana ketokohan, kepimpinan dan kreativiti YAB Ketua Menteri menyatukan rakyat Melaka dan membangunkan Negeri Melaka sehingga menjadi salah sebuah negeri yang termaju dalam Malaysia.

Program Pemeriksaan Kesihatan & Kempen Derma Darah

Pada 15 April 2009 yang lalu bersempena Cuti Umum Negeri Melaka iaitu Cuti Melaka Bandaraya Bersejarah, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Jika 15 April 2008 KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengadakan Program Gotong Royong Perdana yang berkonsepkan Hari Pembersihan, maka pada tahun ini Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah yang berkonsepkan Hari Kesihatan menjadi pilihan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Program ini bertujuan mendidik masyarakat mengamalkan cara dan gaya hidup sihat. Selain itu ianya memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan.

Program ini juga bertujuan mendidik masyarakat berbilang kaum mengenai tanggungjawab sosial dengan cara menderma darah dan secara tidak langsung membantu pihak Kerajaan mengumpulkan bekalan darah untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah ini mendapat kerjasama dari Hospital Pantai Ayer Keroh, Unit Tabung Darah, Hospital Melaka dan Klinik Pergigian, Poliklinik Komuniti Umbai yang telah dirasmikan oleh YB Encik Hasan Bin Abd Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri Melaka. Turut Hadir Encik Mohd Sulaiman Markumi, Pembantu Pembangunan Masyarakat yang mewakili Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Puan Nor Hafizah Che' Ibrahim, Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Puan Zubaidah Bakar, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jasin dan Ketua Umno Cawangan Pulai Darat Encik Yusof Che' Man.

Selain daripada Pemeriksaan Kesihatan secara Percuma dan Kempen Derma Darah, turut diadakan senamrobik perpaduan, pertandingan mewarna kanak-kanak tadika, ceramah & pameran kesihatan serta pemeriksaan pergigan secara percuma. Kami hanya mampu merancang tetapi Allah SWT maha berkuasa dan penentu segalanya. Pada hari program ini diadakan hujan telah turun dengan lebatnya bermula jam 4.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Walau bagaimanapun program ini tetap diteruskan seperti yang dirancang. Pada mulanya program ini kurang mendapat sambutan tetapi menjelang jam 9.00 pagi orang ramai telah mula datang sedikit demi sedikit.


Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah ini telah dihadiri kira-kira 282 orang pengunjung dan berjaya mengumpul sebanyak 33 pain darah walaupun sasaran sebenarnya ialah 100 pain. Walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan pada hari tersebut, tetapi Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah tetap diadakan seperti mana yang telah dirangcang. Seluruh Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Tanam Lenggun Tumbuh Kelapa
Terbit Bunga Pucuk Mati
Budi Tuan Puan Saya Tak Lupa
Sudah Terpahat Di Dalam Hati

Tenanglah Tenang Air Di Laut
Sampan Kolek Mudik Ke Tanjung
Hati Terkenang Mulut Menyebut
Budi Yang Baik Rasa Nak Junjung

Program Gotong Royong Ahli Jawatankuasa


Pada 12 April 2009 yang lalu, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Gotong Royong di kalangan Ahli Jawatankuasanya di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program gotong royong ini adalah bertujuan membersihkan kawasan perkarangan dan persekitaran Laman Perpaduan yang akan digunakan semasa Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah nanti.

Antara kerja-kerja yang dilakukan semasa program gotong royong ini ialah memotong dan meracun rumput, mencantas dahan, mengecat pintu pagar, membersihkan longkang dan sebagainya. Program ini bermula jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.oo petang dan dihadiri seramai 15 orang ahli jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.


Peruntukan Bantu Aktifkan Rukun Tetangga

Jabatan perpaduan menyediakan pelbagai geran tahunan untuk mengaktifkan rukun tetangga supaya dapat melaksanakan pelbagai program yang dapat memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat. Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Baling/Sik, Mohd Zawawi Md Adnan, berkata, geran itu terbahagi kepada tiga peringkat, peringkat pertama untuk yang tidak aktif RM2,400, aktif RM4,800 dan paling aktif RM7,200. Menurutnya, antara program dijalankan di bawah peruntukan tersebut adalah Jiran Muda, Jiran Wanita, Jiran Warga Emas, Tunas Jiran dan sebagainya yang melibatkan masyarakat setempat. “Contohnya di bawah Jiran Wanita, pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti mengadakan kelas jahitan, kelas masakan dan sebagainya, pihak kami hanya menyediakan asasnya sahaja dan terpulang kepada individu itu untuk mengambil peluang yang diberikan. “Kemahiran yang diperoleh hasil mengikuti kursus itu akan dapat digunakan untuk memajukan diri mereka sendiri, contohnya membuka perniagaan kedai makan atau kedai jahitan,” katanya. Zawawi berkata, kemungkinan pihak kami juga akan mengadakan program kesihatan untuk jiran usia emas pada bulan Mac atau April ini nanti dan akan dibuat mengikut zon secara berperingkat-peringkat bagi daerah Baling/Sik. “Matlamat utama program adalah untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan warga emas supaya mereka lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. “Kebanyakan warga emas sering menghidapi masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, jika tidak dirawat akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri,” katanya. Menurutnya, jika jumlah ahli rukun tetangga yang terlibat dalam program anjuran rukun tertanggal melebihi 500 orang dan ke atas, mereka boleh memohon untuk mendapatkan sedikit peruntukan perbelanjaan daripada pihak jabatan. “Namun, jika sebaliknya, semua ditanggung mereka sendiri dan jabatan hanya akan memantau perkembangan aktiviti, supaya setiap program dirancang berjalan lancar. “Setakat ini, di daerah Baling, jumlah keseluruhan rukun tetangga adalah 19 buah manakala di Sik enam, kebiasaannya rukun tetangga lebih banyak ditubuhkan di kawasan taman perumahan,” katanya. Menurutnya, sekurang-kurangnya penduduk di sesebuah kawasan haruslah melebihi 1,500 orang dan jumlah yang ingin memohon menjadi ahli rukun tetangga seramai 20 hingga 25 orang barulah layak untuk menubuhkannya.

RT Perlu Aktif Pupuk Perpaduan

SENAWANG - Setiap Rukun Tetangga (RT) diingatkan untuk terus memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan masyarakat yang bergerak aktif dalam usaha meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum. Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan, Abd Halim Hassan berkata, kerajaan semamangnya menaruh harapan tinggi kepada RT bagi melaksanakan hasrat kerajaan membentuk perpaduan. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Sembang Petang bersama agensi kerajaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang, di sini.Menurutnya, peranan dan fungsi RT yang pelbagai perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk untuk menganjurkan pelbagai bentuk program dan aktiviti yang boleh menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. “Apabila adanya aktiviti yang memerlukan kita berkumpul sebegini, inilah ruangnya untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam komuniti kejiranan ini. “Malah dalam usaha kita menjayakan sesuatu majlis itu, ia mendidik kita untuk saling membantu dan bekerjasama,” katanya. Katanya, proses pembentukan perpaduan perlu berjalan dari semasa ke semasa kerana inilah kekuatan yang ada dalam masyarakat di negara ini. Dalam perkembangan lain, katanya, penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di KRT adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kerjasama dalam kalangan penduduk bagi memastikan keselamatan bersama. “Keselamatan dan ketenteraman dalam kawasan perumahan menjadi tanggungjawab bersama kerana sudah semestinya kita ingikan yang terbaik di kawasan kediaman kita. “Jadi, penglibatan ramai dalam SRS amat diperlukan bagi memudahkan lagi pembahagian tugas dilakukan,” katanya. Beliau berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling terutama yang melibatkan hubungan antara kaum dan kegiatan jenayah. Dalam pada itu, beliau berharap, hubungan antara kaum di RT dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi aktiviti yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.

Program Senamrobik Perpaduan Mingguan



Pada setiap hari Sabtu, jam 5.30 petang, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengadakan Program Senamrobik Perpaduan bertempat di Laman Perpaduan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program Senamrobik Perpaduan ini diuruskan oleh Puan Rahilah Bte Abu Samah iaitu salah seorang Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program Senamrobik Perpaduan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakan daripada semua kaum dan lapisan umur yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Program ini diadakan adalah diatas permintaan penduduk-penduduk di taman ini.


Program Senamrobik Perpaduan ini adalah bertujuan mendidik masyarakat supaya mengamalkan cara dan gaya hidup sihat. Selain daripada itu ia juga secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara semua penduduk di taman ini.


Saya berharap Program Senamrobik Perpaduan ini akan terus diadakan selamanya kerana ia memberi kebaikan kepada semua penduduk. Saya juga berharap agar semua penduduk memberikan kerjasama dan menyertai Program Senamrobik Perpaduan ini.

Majlis Pelancaran Program Senamrobik Perpaduan






Pada 14 Mac 2009, jam 5.30 petang bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah diadakan Majlis Pelancaran Program Senamrobik Perpaduan yang dikelolakan oleh Puan Rahilah Abu Samah, Ahli Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Program Senamrobik Perpaduan ini diadakan berikut permintaan daripada semua kaum yang ada di taman ini iaitu Melayu, Cina dan India. Program Senamrobik Perpaduan ini diadakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya mengamalkan gaya dan cara hidup sihat melalui senaman. Program ini juga secara tidak langsung akan dapat mengerat dan memperkukuhkan lagi tali silaturrahim antara semua penduduk di taman ini tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan fahaman politik.

Majlis Pelancaran Program Senamrobik Perpaduan yang telah dihadiri kira-kira 50 orang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India ini telah disempurnakan oleh YBhg Puan Hajah Rubiah Binti Edris, Isteri YB Tuan Haji Ghazale Muhammad, ADUN Kawasan Serkam. Turut hadir Puan Zubaidah Binti Bakar, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT dan Encik P. Inakownder, Timbalan Pengerusi KRT.

Program Senamrobik Perpaduan ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu jam 5.30 petang bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.