JANGAN PERTIKAI KUASA YANG DIPERTUAN AGONG DAN RAJA MELAYU
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 10:50 AMSebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan. Ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum.
Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu. Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu. Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka. Penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.
Asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas. Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi, Amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal. Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi.
Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersenda secara terbuka. Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian. Atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga alpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan. Ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat. Komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.
Subscribe to:
Posts (Atom)