Peruntukan Bantu Aktifkan Rukun Tetangga

Jabatan perpaduan menyediakan pelbagai geran tahunan untuk mengaktifkan rukun tetangga supaya dapat melaksanakan pelbagai program yang dapat memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat. Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Baling/Sik, Mohd Zawawi Md Adnan, berkata, geran itu terbahagi kepada tiga peringkat, peringkat pertama untuk yang tidak aktif RM2,400, aktif RM4,800 dan paling aktif RM7,200. Menurutnya, antara program dijalankan di bawah peruntukan tersebut adalah Jiran Muda, Jiran Wanita, Jiran Warga Emas, Tunas Jiran dan sebagainya yang melibatkan masyarakat setempat. “Contohnya di bawah Jiran Wanita, pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti mengadakan kelas jahitan, kelas masakan dan sebagainya, pihak kami hanya menyediakan asasnya sahaja dan terpulang kepada individu itu untuk mengambil peluang yang diberikan. “Kemahiran yang diperoleh hasil mengikuti kursus itu akan dapat digunakan untuk memajukan diri mereka sendiri, contohnya membuka perniagaan kedai makan atau kedai jahitan,” katanya. Zawawi berkata, kemungkinan pihak kami juga akan mengadakan program kesihatan untuk jiran usia emas pada bulan Mac atau April ini nanti dan akan dibuat mengikut zon secara berperingkat-peringkat bagi daerah Baling/Sik. “Matlamat utama program adalah untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan warga emas supaya mereka lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. “Kebanyakan warga emas sering menghidapi masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, jika tidak dirawat akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri,” katanya. Menurutnya, jika jumlah ahli rukun tetangga yang terlibat dalam program anjuran rukun tertanggal melebihi 500 orang dan ke atas, mereka boleh memohon untuk mendapatkan sedikit peruntukan perbelanjaan daripada pihak jabatan. “Namun, jika sebaliknya, semua ditanggung mereka sendiri dan jabatan hanya akan memantau perkembangan aktiviti, supaya setiap program dirancang berjalan lancar. “Setakat ini, di daerah Baling, jumlah keseluruhan rukun tetangga adalah 19 buah manakala di Sik enam, kebiasaannya rukun tetangga lebih banyak ditubuhkan di kawasan taman perumahan,” katanya. Menurutnya, sekurang-kurangnya penduduk di sesebuah kawasan haruslah melebihi 1,500 orang dan jumlah yang ingin memohon menjadi ahli rukun tetangga seramai 20 hingga 25 orang barulah layak untuk menubuhkannya.

0 Comments:

Post a Comment