Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM SEMARAK AIDILFITRI 1430H/2009M pada hari Sabtu 19 September 2009 jam 2.00 petang. Program ini ialah program penyampaian sumbangan yang berupa beras kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz bersempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Selain itu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM TAKBIR RAYA 1430H/2009M pada sebelah malamnya pula selepas solat Isyak. Program Takbir Raya ini telah menjadi acara tahunan Jawatankuasa KRT dan Madrasah setiap kali hari lebaran tiba. Semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz adalah dijemput dan dialu-alukan menyertai 2 program yang telah dirancang ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin.

SALAM AIDILFITRI 1430H/2009M


Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah kota
Saudara jauh datang bertandang
Bermaaf-maafan sesama kita

Masak udang dan gulai ketam
Pembasuh mulut kuih keria
Berbunyi mercun berdentum-dentam
Riang gembira di Hari Raya

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban

Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Kita menyambut Hari Raya

Adik tersayang segak bergaya
Mengait kuih di atas para
Suasana riang di Hari Raya
Bermaaf-maafan riang gembira


SALAM AIDILFITRI DARI SELURUH JAWATANKUASA RT & PARA PENDUDUK
TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ, KAMPUNG PULAI
MERLIMAU, MELAKA



PROGRAM CAHAYA RAMADHAN PERINGKAT DAERAH JASIN 2009

Pada 14 September 2009, bertempat di Pejabat Perpaduan Daerah Jasin, Penyelaras KRT Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Jasin telah mengadakan Program Cahaya Ramadhan Peringkat Daerah Jasin 2009. Program yang diadakan ini adalah bertujuan meraikan Bulan Ramadhan dan juga Bulan Syawal 1430H yang akan disambut tidak berapa lama lagi. Pada program ini, pihak penganjur telah menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim samada dari kaum melayu, cina mahupun india dari seluruh Daerah Jasin. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Wira Haji Ahmad Bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah menghantar 4 orang AJK nya bagi menyertai majlis ini. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga telah menghantar seorang penerima anak yatim dari kaum india. Semua yang hadir telah sama-sama berbuka puasa bersama YB Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah. Majlis ditangguhkan kira-kira jam 8.00 Malam.





Pada 5 September 2009 yang lalu bersamaan 15 Ramadhan 1430 Hijrah, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa Jawatankuasa KRT dan Ahli Keluarga bertempat di Tadika Perpaduan, Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program ini bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara semua Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan keluarga masing-masing. Selain itu ia juga bertujuan memupuk semangat tolong-menolong dikalangan Jawatankuasa KRT semasa proses memasak dijalankan. Semua AJK KRT dan keluarga masing-masing telah bergotong royong memasak pada sebelah petangnya. Majlis yang bermula pada jam 6.50 petang ini dimulakan dengan Bacaan Tahlil oleh semua yang hadir. Dalam ucapannya, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Encik Husin Nasir mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK KRT yang telah banyak memberi kerjasama dalam melaksanakan apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh KRT. Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat menjamu semua AJK KRT dan ahli keluarga berbuka puasa di hotel-hotel disebabkan kekangan sumber kewangan. Beliau berjanji akan berusaha sedaya-upaya beliau untuk menjamu semua AJK KRT dan ahli keluarga untuk berbuka puasa pada tahun hadapan. Sebelum berbuka puasa, Pengerusi KRT telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak AJK KRT yang hadir. Semua yang hadir telah sama-sama berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib berjemaah.

Dari kanan Encik Abu Bakar Hamid, Encik Husin Nasir, Anak AJK KRT dan Encik Zulkeplee Othman hadir pada majlis yang diadakan.


Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Encik Husin Nasir bersama tetamu yang hadir membacakan tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa.

Jawatankuasa wanita dan isteri serta anak-anak AJK KRT yang hadir

Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz menyampaikan "Duit Raya" kepada anak AJK KRT yang hadir.
AJK KRT bersama keluarga bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Tarikh pada gambar adalah salah kerana kesilapan "setting" pada kamera Setiausaha KRT. Kesilapan amatlah dikesali dan dipohon jutaan kemaafan.