RT Perlu Aktif Pupuk Perpaduan

SENAWANG - Setiap Rukun Tetangga (RT) diingatkan untuk terus memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan masyarakat yang bergerak aktif dalam usaha meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum. Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan, Abd Halim Hassan berkata, kerajaan semamangnya menaruh harapan tinggi kepada RT bagi melaksanakan hasrat kerajaan membentuk perpaduan. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Sembang Petang bersama agensi kerajaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang, di sini.Menurutnya, peranan dan fungsi RT yang pelbagai perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk untuk menganjurkan pelbagai bentuk program dan aktiviti yang boleh menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. “Apabila adanya aktiviti yang memerlukan kita berkumpul sebegini, inilah ruangnya untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam komuniti kejiranan ini. “Malah dalam usaha kita menjayakan sesuatu majlis itu, ia mendidik kita untuk saling membantu dan bekerjasama,” katanya. Katanya, proses pembentukan perpaduan perlu berjalan dari semasa ke semasa kerana inilah kekuatan yang ada dalam masyarakat di negara ini. Dalam perkembangan lain, katanya, penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di KRT adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kerjasama dalam kalangan penduduk bagi memastikan keselamatan bersama. “Keselamatan dan ketenteraman dalam kawasan perumahan menjadi tanggungjawab bersama kerana sudah semestinya kita ingikan yang terbaik di kawasan kediaman kita. “Jadi, penglibatan ramai dalam SRS amat diperlukan bagi memudahkan lagi pembahagian tugas dilakukan,” katanya. Beliau berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling terutama yang melibatkan hubungan antara kaum dan kegiatan jenayah. Dalam pada itu, beliau berharap, hubungan antara kaum di RT dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi aktiviti yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.

0 Comments:

Post a Comment