MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1431H

Dimaklumkan bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H Peringkat Taman Datuk Haji Abdul Aziz pada 17 Disember 2009 iaitu hari Khamis bermula jam 6.30 Petang bertempat di Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Antara pengisian yang telah diatur ialah Bacaan Doa Akhir Tahun 1430H, Bacaan Doa Awal Tahun 1431H, Solat Maghrib dan Isyak Berjemaah, Bacaan Yassin dan Tahlil, Ceramah Agama Perdana dan Penyampaian Sumbangan Maal Hijrah kepada individu-individu yang telah banyak memberikan sumbangan/bakti kepada perkembangan agama Islam dan masyarakat Islam di Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Semua penduduk adalah dijemput hadir ke majlis ini.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431H

Pengerusi & Jawatankuasa
KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz
Merlimau, Melaka



Mengambil kesempatan mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431H/2009M


"Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah"

TAHNIAH DATUK SERI!!!

Setinggi-Tinggi Tahniah


kepada

Y.A.B DATUK SERI HAJI MOHD ALI BIN MOHD RUSTAM


SEMPENA SEDEKAD SEBAGAI
KETUA MENTERI MELAKA
1999-2009

ikhlas dari

Pengerusi dan Jawatankuasa KRT serta Semua Penduduk
Taman Datuk Haji Abdul Aziz,
Kampung Pulai
Merlimau, Melaka

JAMUAN RAKYAT PERPADUAN 1 MALAYSIA

Pada 7 November 2009 yang lalu KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dengan kerjasama MIC Cawangan Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Merlimau, Melaka telah mengadakan MAJLIS JAMUAN RAKYAT PERPADUAN 1 MALAYSIA bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
Majlis yang bermula pada jam 8.30 malam itu telah dihadiri hampir 800 ratus orang tetamu. Majlis Jamuan Rakyat Perpaduan 1 Malaysia ini diadakan adalah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga Deepavali yang disambut oleh Masyarakat Melayu dan India di seluruh negara khususnya penduduk-penduduk di Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
Majlis ini juga antara lain bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara semua penduduk yang berbilang kaum di taman ini. Majlis ini juga adalah untuk melahirkan semangat 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia ke arah perpaduan kaum yang jitu, hidup bermasyarakat yang penuh dengan semangat kejiranan aman dan damai.
Majlis Jamuan Rakyat Perpaduan 1 Malaysia ini telah dirasmikan oleh YB. Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Jasin. Turut hadir YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam, Encik Zakaria Bin Abu Bakar, Penghulu DUN Serkam, Encik S. Sinnayah, Timbalan Ketua MIC Bahagian Jasin dan Encik Yusof Bin Cheman, Ketua UMNO Cawangan Pulai Darat.
Bersempena majlis ini, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah meraikan YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam yang telah dianugerahkan Pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran "DATUK" oleh T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri Melaka baru-baru ini. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga meraikan YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam dan isteri Datin Hajah Rubiah Bte Edris yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 15 November 2009 bagi menunaikan fardu haji.
Selain menikmati hidangan yang disediakan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper kepada 10 orang warga emas yang berada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Pada akhir majlis, para tetamu telah dipersembahkan dengan pertunjukkan bunga api selama 10 minit. Majlis berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Tetamu yang hadir menikmati hidangan yang disediakan.

YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam menyampaikan hamper kepada salah seorang warga emas yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT dan Encik P.Inakownder, Pengerusi MIC menyampaikan cenderatama kepada YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam.


Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz menyampaikan cenderamata kepada YB. Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Jasin sambil diperhatikan oleh Encik P. Inakownder.


YB. Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah dan YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad bersama tetamu kenamaan lain menyalakan pelita sebagai simbolik perasmian Majlis Jamuan Rakyat Perpaduan 1 Malaysia.


Nota : Tarikh pada gambar bukanlah tarikh sebenar. Ia adalah kesilapan "setting" pada kamera Setiausaha KRT.

KUNJUNGAN MUHIBBAH DEEPAVALI 2009







Pada 18 Oktober 2009 yang lalu, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Kunjungan Muhibbah Deepavali 2009 ke atas Timbalan Pengerusi KRT yang juga Pengerusi MIC Taman Datuk Haji Abdul Aziz Encik P. Inakownder di rumahnya baru-baru ini.

Kunjungan ini bersempena meraikan Hari Deepavali yang disambut masyarakat India di negara ini pada 17 Oktober 2009 yang lalu. Program ini bertujuan merapatkan hubungan dan perpaduan antara semua penduduk yang berbilang kaum yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini.

Ianya juga sebagai menghormati dan merayakan Hari Deepavali yang disambut oleh penganut India yang meraikan dalam suasana aman damai dan penuh perpaduan dan secara tidak langsung dapat merealisasikan konsep "1 Malaysia" yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Saya sebagai Setiausaha KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz berharap dengan adanya program seumpama ini, penduduk dapat hidup aman damai dan harmoni serta mengekalkan semangat perpaduan sedia ada tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik. Saya juga berharap agar program ini dapat dujadikan acara tahunan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

SELAMAT HARI DEEPAVALI 2009


Pengerusi dan Jawatankuasa KRT serta semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2009 kepada semua masyarakat India yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

1 Malaysia : Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan

TAHNIAH YB DATUK!!

Pengerusi dan Jawatankuasa Rukun Tetangga serta Semua Penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz merakamkan setinggi-tinggi ucapan Tahniah kepada YB Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam Merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka di atas penganugerahan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran DATUK sempena Hari Jadi Ke-71, T.Y.T. Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Haji Mohd Khalil Yaakub pada 10 Oktober 2009.

Darjah Mulia Seri Melaka

Kami semua akan terus berdiri teguh dibelakang YB Datuk untuk sama-sama mewujudkan perpaduan kaum di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini bagi menzahirkan hasrat 1 Malaysia.

Tahniah YB Datuk!!

PROGRAM TAKBIR RAYA 1430H/2009M

Seperti kelaziman setiap tahun apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri, Jawatankuasa Madrasah dan Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan Program Takbir Raya dari rumah ke rumah di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Program ini diadakan bersempena menyambut kedatangan hari lebaran. Selain itu, ia juga sebagai satu cara menghidupkan malam raya dengan bertakbir memuji Tuhan Yang Maha Esa. Selain itu ia juga sebagai satu cara merapatkan hubungan dan mengeratkan silaturrahim antara semua penduduk di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Program Takbir Raya ini diadakan selepas solat Isyak dan habis kira-kira jam 1 pagi. Pada tahun ini golongan muda masih mendominasi program ini. Hampir 70 peratus peserta program ini ialah golongan muda. Ia adalah satu petanda positif untuk menarik golongan muda mendekatkan diri dengan program yang berbentuk keagamaan.






Tarikh pada gambar bukanlah tarikh sebenar. Ia adalah kesilapan "setting" pada kamera Setiausaha KRT. Kesilapan amatlah dikesali.

PROGRAM SEMARAK AIDILFITRI 2009

Pada petang 19 September 2009 iaitu "Petang Hari Membantai" umat Islam di seluruh negara mahupun seluruh dunia sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Segenap lapisan masyarakat samada kaya ataupun miskin, tua ataupun muda sibuk membuat persiapan menyambut hari lebaran setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Semarak Aidilfitri 2009. Program ini merupakan program pemberian sumbangan kepada semua ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program ini bertujuan membantu meringankan bebanan golongan yang tidak bernasib baik menyambut hari lebaran. Walaupun sumbangan yang disampaikan tidak seberapa nilainya tetapi ia memberi pengertian yang begitu besar kepada golongan ini. Sekurang-kurangnya ada juga pihak yang prihatin terhadap nasib malang mereka.

Selain itu juga, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada semua Jawatankuasanya bersempena menyambut Hari Raya AIdilfitr 1430H/2009M.

Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT sedang menyampaikan sumbangan kepada Encik Abdul Razak Jantan, AJK KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Salah seorang penerima sumbangan Program Semarak Aidilfitri 2009.

Encik Sahar Jiman, Penolong Setiausaha KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz menerima sumbangan daripada Pengerusi KRT.
Pengerusi KRT sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ibu tunggal semasa Program Semarak Aidilfitri 2009.

Encik Zulkeplee Othman, AJK KRT menerima sumbangan daripada Encik Husin Nasir.
Tarikh pada gambar bukanlah tarikh sebenar. Ia adalah kesilapan "setting pada kamera Setiausaha RT. Kesilapan amatlah dikesali.

Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM SEMARAK AIDILFITRI 1430H/2009M pada hari Sabtu 19 September 2009 jam 2.00 petang. Program ini ialah program penyampaian sumbangan yang berupa beras kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz bersempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Selain itu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM TAKBIR RAYA 1430H/2009M pada sebelah malamnya pula selepas solat Isyak. Program Takbir Raya ini telah menjadi acara tahunan Jawatankuasa KRT dan Madrasah setiap kali hari lebaran tiba. Semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz adalah dijemput dan dialu-alukan menyertai 2 program yang telah dirancang ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin.

SALAM AIDILFITRI 1430H/2009M


Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah kota
Saudara jauh datang bertandang
Bermaaf-maafan sesama kita

Masak udang dan gulai ketam
Pembasuh mulut kuih keria
Berbunyi mercun berdentum-dentam
Riang gembira di Hari Raya

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban

Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Kita menyambut Hari Raya

Adik tersayang segak bergaya
Mengait kuih di atas para
Suasana riang di Hari Raya
Bermaaf-maafan riang gembira


SALAM AIDILFITRI DARI SELURUH JAWATANKUASA RT & PARA PENDUDUK
TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ, KAMPUNG PULAI
MERLIMAU, MELAKA



PROGRAM CAHAYA RAMADHAN PERINGKAT DAERAH JASIN 2009

Pada 14 September 2009, bertempat di Pejabat Perpaduan Daerah Jasin, Penyelaras KRT Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Jasin telah mengadakan Program Cahaya Ramadhan Peringkat Daerah Jasin 2009. Program yang diadakan ini adalah bertujuan meraikan Bulan Ramadhan dan juga Bulan Syawal 1430H yang akan disambut tidak berapa lama lagi. Pada program ini, pihak penganjur telah menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim samada dari kaum melayu, cina mahupun india dari seluruh Daerah Jasin. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Wira Haji Ahmad Bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah menghantar 4 orang AJK nya bagi menyertai majlis ini. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga telah menghantar seorang penerima anak yatim dari kaum india. Semua yang hadir telah sama-sama berbuka puasa bersama YB Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah. Majlis ditangguhkan kira-kira jam 8.00 Malam.





Pada 5 September 2009 yang lalu bersamaan 15 Ramadhan 1430 Hijrah, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa Jawatankuasa KRT dan Ahli Keluarga bertempat di Tadika Perpaduan, Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program ini bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara semua Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan keluarga masing-masing. Selain itu ia juga bertujuan memupuk semangat tolong-menolong dikalangan Jawatankuasa KRT semasa proses memasak dijalankan. Semua AJK KRT dan keluarga masing-masing telah bergotong royong memasak pada sebelah petangnya. Majlis yang bermula pada jam 6.50 petang ini dimulakan dengan Bacaan Tahlil oleh semua yang hadir. Dalam ucapannya, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Encik Husin Nasir mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK KRT yang telah banyak memberi kerjasama dalam melaksanakan apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh KRT. Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat menjamu semua AJK KRT dan ahli keluarga berbuka puasa di hotel-hotel disebabkan kekangan sumber kewangan. Beliau berjanji akan berusaha sedaya-upaya beliau untuk menjamu semua AJK KRT dan ahli keluarga untuk berbuka puasa pada tahun hadapan. Sebelum berbuka puasa, Pengerusi KRT telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak AJK KRT yang hadir. Semua yang hadir telah sama-sama berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib berjemaah.

Dari kanan Encik Abu Bakar Hamid, Encik Husin Nasir, Anak AJK KRT dan Encik Zulkeplee Othman hadir pada majlis yang diadakan.


Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Encik Husin Nasir bersama tetamu yang hadir membacakan tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa.

Jawatankuasa wanita dan isteri serta anak-anak AJK KRT yang hadir

Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz menyampaikan "Duit Raya" kepada anak AJK KRT yang hadir.
AJK KRT bersama keluarga bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Tarikh pada gambar adalah salah kerana kesilapan "setting" pada kamera Setiausaha KRT. Kesilapan amatlah dikesali dan dipohon jutaan kemaafan.

PERPADUAN SENIPIS KULIT BAWANG

PERPADUAN. Apa maknanya? Dalam konteks Malaysia perpaduan sering dikaitkan dengan hubungan antara kaum. Tiga kaum terbesarnya hidup aman damai, bersatu padu dan tolong-menolong.

Malaysia pernah diiktiraf sebagai antara negara unik kerana dasar hubungan kaumnya yang erat.

Namun, kini banyak yang mula bercakap semula mengenainya. Kali ini mereka membincangkan mengenai hubungan yang mulai (atau sudah) rapuh antara kaum itu. Perdana Menteri sendiri dalam perutusan Merdeka membangkitkan mengenai soal itu.

Beliau mahu supaya tempoh pemisah di antara kaum dirobohkan dan dibina semula jambatan yang telah diasaskan oleh nenek moyang kita dulu.

Mesej Perdana Menteri itu cukup jelas untuk menggambarkan keseriusan keadaan yang berlaku sekarang. Jalinan geo-politik di Malaysia telah memisahkan kaum-kaum yang ada.

Tiga kaum terbesar itu Ali-Ah Seng-Samy (seperti nama-nama yang sering disebut dalam buku-buku teks sekolah kita dulu) kini semakin (atau sudah) berpecah. Isu-isu sensitif semakin menjadi-jadi.

Isu agama dijadikan bahan politik. Jika di India isu agamalah yang sering kali akan mencetuskan pergaduhan besar. Berpuluh-puluh, malah beratus-ratus orang akan mati bergelimpangan di atas jalan raya dalam pergaduhan agama di negara itu.

Isu itu amat mudah dicetuskan dan ia paling efektif untuk dicetuskan. Di Malaysia ada pihak yang sedang bermain dengan api itu. Mereka suka bermain dengan isu-isu itu.

Kerajaan Selangor kini didakwa oleh banyak pihak gemar memulakan isu-isu seperti ini. Kemudian mereka akan berdiam diri apabila isu itu menjadi besar.

Kita tidak pasti apakah pihak berkuasa keselamatan melihat dan memerhati situasi ini secara serius, atau takut bertindak gara-gara tekanan ke atas ISA?

Namun apa sekali pun, saya ingin berkongsi satu surat dengan anda sekelian mengenai luahan rasa seorang pelajar sekolah di tingkatan enam mengenai erti perpaduan. Beliau yang menghantar emel atas nama leo_taufik90@yahoo.com menulis surat yang tajuknya amat menarik iaitu: Perpaduan senipis kulit bawang.

Renungilah tulisan anak muda ini:

"ISU ini mungkin pada masa kini sedang hangat dibicarakan ataupun boleh dianggap telah lapuk disebabkan selalu sangat dibincangkan sejak pilihan raya ke-12. Namun apa yang pasti isu ini banyak dikupas oleh pakar-pakar akademik, politik dan individu perseorangan yang saya kira berumur sebaya ayah saya.

"Saya sebagai seorang pelajar tingkatan 6 ingin pula menyuarakan pandangan mengenai isu ini. Mungkin pandangan saya akan dianggap kurang matang memandangkan saya masih lagi di bawah tanggungan keluarga, namun atas dasar kebebasan bersuara yang dikatakan dimiliki oleh rakyat di negara ini, tidak ada salah sekiranya saya memberikan beberapa pandangan mengenai isu ini.

"Kita telah merdeka lebih separuh abad, pelbagai kemajuan yang telah kita kecapi dalam masa tersebut, namun entah di mana silapnya, perpaduan antara kaum boleh diibaratkan 'senipis kulit bawang'.

"Saya menyatakan perkara ini bukanlah berdasarkan emosi semata-mata mahupun melalui pembacaan sebaliknya berdasarkan pengalaman sendiri. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6, saya telah bersekolah di empat sekolah dan keempat-empat sekolah tersebut berkenaan merupakan sekolah aliran biasa yang menempatkan pelbagai kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Di sinilah saya mula mempelajari erti perpaduan antara kaum. Saya dapat lihat walaupun berada di dalam sekolah atau kelas yang sama, perpaduan antara pelajar yang berlainan kaum amat sukar dijalinkan.

Pelajar-pelajar ini suka mengasingkan diri mengikut kelompok masing-masing dan jika bergaul pun hanya disebabkan arahan guru atau rakannya itu pandai belajar.

"Dari perkara tersebut boleh disimpulkan bahawa pergaulan antara kaum ini hanya berlaku disebabkan terpaksa dan mempunyai motif tertentu tanpa mempunyai semangat kenegaraan.
Oleh sebab itulah saya berasa sangat hairan mengapa Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan matlamat 1Malaysia boleh dicapai walaupun dilaksanakan di sekolah aliran yang berbeza, pada hal sekolah kebangsaan sendiri pun masih tidak mampu menyatukan pelajar yang berlainan kaum.

"Namun saya tidak menyalahkan kerajaan semata-mata kerana terdapat faktor lain iaitu penerimaan masyarakat itu sendiri.

"Di sekolah, saya mempunyai seorang kawan rapat berbangsa Cina, pernah suatu hari ketika saya dan kawan saya itu berjalan di luar kawasan sekolah untuk ke kedai, saya merasakan banyak mata yang memandang ke arah kami seolah-olah kami makhluk asing dari planet marikh!

"Kami menjadi perhatian hanya kerana saya berbangsa Melayu dan kawan saya berbangsa Cina, berjalan sambil berbual sesama kami, masyarakat seolah-olah menyatakan kami telah melakukan kesalahan besar dan perkara tersebut tidak patut berlaku.

"Kejadian tersebut telah membuka mata saya seluas-luasnya untuk melihat negara ini dalam konteks perpaduan yang sebenar. Rakyat negara asing memuji dengan 'perpaduan' yang mereka lihat di Malaysia. Namun hakikat sebenar tidak seperti yang dilihat oleh mereka.

"Perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang 'senipis kulit bawang' ini semakin dihakis oleh pihak-pihak tertentu dengan sentimen perkauman yang sengaja dimainkan oleh mereka. Dalam hal ini, kerajaan seharusnya memikirkan perkara ini dengan lebih serius, jangan hanya pandai bercakap tapi teragak-agak untuk melaksanakannya.

"Adakah dengan berlakunya sekali lagi tragedi 13 Mei 1969, barulah kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan rakyat di negara ini?"

Apakah benar tulisan Leo Taufik itu? Apakah itu keadaannya di hadapan kita sekarang? Mungkin benar. Jurang pemisah dari sekolah itu kini telah melarat ke peringkat universiti.
Jika kita ke Universiti Malaya sekarang, kita akan melihat satu kumpulan pelajar Melayu berjalan sesama mereka dan pelajar Cina berjalan semasa mereka.

Pelajar-pelajar di menara gading itu merasakan mereka lebih selamat dan terpelihara atau selesa berjalan sesama mereka.

Situasi ini akan melarat lagi ke bidang pekerjaan dan akhirnya ia akan menjadi budaya masyarakat masing-masing. Mana-mana kaum yang kuat (dari segi ekonomi dan politik) akan mengetepikan kaum lain, hanya kerana cara hidup dan fikiran mereka yang diasaskan dari peringkat sekolah itu. Fikir-fikirkanlah......
-sumber : Utusan Malaysia Online-

NUZUL AL-QURAN

Hari ini 17 September bersamaan dengan 17 Ramadhan adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)

Ditulis oleh Dr Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK PERPADUAN 1 MALAYSIA

Kaum wanita bergotong royong membuat persiapan untuk memasak bubur lambuk

Pengerusi KRT, Encik Husin Nasir (memegang mangkuk) sedang memasukkan bahan tumisan ke dalam periuk semasa proses memasak.

Jawatankuasa KRT dan penduduk taman berkerjasama membungkus bubur lambuk sebelum diagihkan kepada penduduk taman.

YB. Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam turut membantu mengacau bubur lambuk yang disediakan untuk penduduk taman.

Ustaz Haji Md sidek Bin Md Raus sedang menyampaikan Tazkirah Ramadhan kepada tetamu yang hadir.

Pada 30 Ogos 2009 yang lalu, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Memasak Bubur Lambuk Perpaduan 1 Malaysia bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai, Melaka.

Program ini adalah bersempena menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke-52 yang jatuh pada ketika umat Islam sedang berpuasa. Program ini juga bertujuan merapatkan hubungan semua kaum yang ada di taman ini dengan cara merasai juga tradisi masyarakat melayu yang lazimnya dibuat pada bulan puasa iaitu Bubur Lambuk.

Program Memasak Bubur Lambuk Perpaduan 1 Malaysia ini telah diadakan secara bergotong royong oleh semua penduduk di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Selain daripada memasak bubur lambuk, program ini telah disertakan dengan Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh YBhg Ustaz Haji Md Sidek Bin Md Raus, Pegawai Majlis Agama Islam Melaka.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Kawasan Serkam merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka. Tepat jam 5.30 petang bubur lambuk ini telah diagihkan kepada semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz bukan sahaja penduduk melayu tetapi juga kepada penduduk berbangsa cina dan india.

HAPPY BIRTHDAY MALAYSIA!!

Seluruh Ahli Jawatankuasa
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) &
Semua Penduduk
Taman Datuk Haji Abdul Aziz

Mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE-52

kepada

SEMUA PENDUDUK MALAYSIA.

"1 MALAYSIA : RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"