Pada 4 dan 5 Mac 2010 akan datang, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan menerima kunjungan para peserta Program Lawatan Integrasi dari KRT Cacar Baru, Paka, Dungun, Terengganu dan Lawatan Kajian pelajar-pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTEM).

Program Lawatan Integrasi ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua-dua KRT iaitu KRT Cacar Baru, Terengganu dan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Melaka. Program Lawatan Integrasi ini juga membuktikan semua KRT diseluruh negara adalah bersaudara tanpa mengira sempadan negeri, agama, bangsa mahupun fahaman politik. Selain daripada itu, pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) juga akan membuat kajian bagaimana penganjuran sesuatu aktiviti yang bersifat majmuk dapat menyatupadukan serta merapatkan hubungan kekeluargaan penduduk-penduduk khususnya di Taman Datuk Haji Abdul Aziz yang berbilang kaum dan secara tidak langsung merealisasikan hasrat 1 Malaysia.

Sepanjang 2 hari, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah merangka pelbagai aktiviti untuk semua tetamu. Antara aktiviti yang dirangka ialah:-

  • Lawatan ke Bandaraya Melaka Bersejarah, Menaiki Menara Taming Sari, Menyusuri Sungai Melaka dengan menggunakan Melaka River Cruise, Melawat Jonker Walk dan lain-lain lagi.
  • Taklimat dan Dialog Bersama Pegawai JPNIN Negeri Melaka, Pegawai JPNIN Daerah Jasin dan AJK KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
  • Lawatan ke Tadika Perpaduan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
  • Lawatan ke beberapa perusahaan yang ada di Kampung Pulai seperti Perusahaan Membuat dan Membungkus Dodol, Perusahaan Membuat Kompang dan Perusahaan Membuat Kuih Tradisional.
  • Solat Jumat Bersama YB. Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan penduduk-penduduk Kampung Pulai di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai.
  • Gotong royong persiapan Majlis Jamuan Teh Bersama YB. ADUN Serkam Sempena Tahun Baru Cina dan Penutup Program Lawatan Integrasi.
  • Majlis Jamuan Teh Bersama YB. ADUN Serkam Sempena Tahun Baru Cina dan Penutup Program Lawatan Integrasi.

Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Jawatankuasa KRT Cacar Baru, Pelajar UTEM hanya mampu merancang dan hanya Allah SWT yang menentukan. Kami berharap agar segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat/faedah kepada semua pihak.