PROGRAM SENAMROBIK MUHIBBAH 1 MALAYSIA
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 8:46 AMPada 15 April 2010 yang lalu, KRT TDHAA telah menganjurkan Program Senamrobik Muhibbah 1 Malaysia bertempat di Laman Perpaduan KRT TDHAA. Program yang bermula pada jam 7.45 pagi ini telah disertai kira-kira hampir 50 orang. Turut hadir Puan Nor Hafizah Bte Che' Iberahim, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka Daerah Jasin dan Encik Khairul Nizam Bin Alias, Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka Daerah Jasin.
Program ini yang diadakan bersempena cuti Pengisytiharan Bandaraya Melaka Bersejarah bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara semua penduduk-penduduk di TDHAA ini. Selain itu ia juga bertujuan menggalakkan penduduk di TDHAA ini mengamalkan cara dan gaya hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti seperti ini.
Pada awalnya program ini dijangka dirasmikan oleh YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam tetapi disebabkan YB. Datuk mempunyai ketentuan lain yang tidak dapat dielakkan, maka ianya tidak dapat dirasmikan dan dijalankan seperti senamrobik biasa. Walau sibuk disebabkan tugas sebagai seorang wakil rakyat, YB. Datuk telah menghadirkan diri pada akhir program ini sebagai memberi sokongan terhadap penganjuran program ini. Ini membuktikan YB. Datuk merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepenatan diri beliau. Inilah konsep RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN yang diamalkan oleh YB. Datuk. Seluruh warga TDHAA mengucapkan terima kasih kepada YB. Datuk diatas kesudian hadir dalam program-program yang dianjurkan di TDHAA. Kami berbangga mempunyai seorang wakil rakyat berjiwa rakyat seperti YB. Datuk.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HINDU DAN VESAKHI
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 2:17 PMSelama dua hari bermula dari 14 April, masyarakat India beragama Hindu akan merayakan Tahun Baru mereka. Hari istimewa ini dikenali dengan pelbagai nama; kepada masyarakat Tamil, ia dikenali sebagai Puthandu, dan hari ini ialah hari memperingati tahun Vikruthi manakala kepada masyarakat Malayalee ia dikenal dengan nama Vishu. Selain daripada itu, masyarakat Sikh Malaysia akan merayakan hari Vesakhi yang jatuh pada 14 April untuk memperingati kelahiran Khalsa – yang merupakan hari terpenting kepada masyarakat Sikh di seluruh dunia.
Jawatankuasa KRT TDHAA mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru kepada semua masyarakat Hindu dan kepada masyarakat Sikh, Selamat Hari Vesakhi dan mendoakan agar anda semua akan dapat merayakan hari yang bertuah ini bersama-sama keluarga dan sahabat handai.
Menjadi amalan kita sebagai rakyat Malaysia, perayaan-perayaan seperti ini adalah waktu untuk kita lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain. Semakin banyak kita mengetahui tentang satu sama lain, semakin kita menghargai kekayaan dan keutuhan nilai-nilai budaya kita. Walaupun pelbagai rupa dan bentuknya, persamaan nilai yang menjadi teras kepada kepelbagaian budaya kita memperlihatkan bahawa kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan. Berbekalkan semangat 1Malaysia, marilah kita merebut peluang untuk bersama-sama merayakan hari yang istimewa ini.
PROGRAM SENAMROBIK MUHIBBAH 1 MALAYSIA
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 12:17 PMDimaklumkan bahawa bersempena cuti Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15 April 2010 iaitu hari Khamis, Jawatankuasa KRT TDHAA akan mengadakan Program Senamrobik Muhibbah 1 Malaysia bertempat di Laman Perpaduan, KRT TDHAA bermula jam 7.30 pagi.
Program Senamrobik Muhibbah 1 Malaysia ini bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara semua penduduk di TDHAA ini selain menggalakkan penduduk di TDHAA untuk mengamalkan cara dan gaya hidup yang sihat.
Program Senamrobik Muhibbah 1 Malaysia ini akan disempurnakan perasmiannya oleh YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam. Program ini dijangka turut dihadiri oleh isteri YB Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, YBhg. Datin Hajah Rubiah Bte Edris selain pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Jasin.
SEMUA PENDUDUK TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ ADALAH DIJEMPUT HADIR.
Subscribe to:
Posts (Atom)