Program Senamrobik Hari Buruh

Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Senamrobik Hari Buruh bersempena cuti Hari Pekerja pada 1 Mei 2009 yang lalu bertempat di Laman Perpaduan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program yang bermula pada jam 8 pagi itu telah dihadiri hampir 80 orang penduduk terdiri daripada kaum melayu, cina dan india.

Program Senamrobik Perpaduan Hari Buruh ini diadakan adalah bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara semua penduduk di taman ini tanpa mengira bangsa, agama, budaya, fahaman politik dan sebagainya. Program ini secara tidak langsung mendidik masyarakat supaya mengamalkan cara dan gaya hidup yang sihat melalui senaman.

Rata-rata penduduk yang hadir menyatakan tanda sokongan mereka terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Mereka berpendapat jika hendak melakukan senaman secara bersendirian adalah mustahil, hendak berjoging tidak mempunyai masa tetapi program senamrobik yang dianjurkan oleh Jawatankuasa RT ini amat bersesuaian sekali kerana mereka dapat berkumpul bersama-sama dan melakukan senaman secara berkumpulan tanpa merasa bosan atau sunyi. Mereka berharap Jawatankuasa RT dapat memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti yang berbentuk kesihatan seperti senamrobik ini pada masa-masa yang akan datang.