Program Pemeriksaan Kesihatan & Kempen Derma Darah

Pada 15 April 2009 yang lalu bersempena Cuti Umum Negeri Melaka iaitu Cuti Melaka Bandaraya Bersejarah, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah bertempat di Laman Perpaduan, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Jika 15 April 2008 KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengadakan Program Gotong Royong Perdana yang berkonsepkan Hari Pembersihan, maka pada tahun ini Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah yang berkonsepkan Hari Kesihatan menjadi pilihan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.

Program ini bertujuan mendidik masyarakat mengamalkan cara dan gaya hidup sihat. Selain itu ianya memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan.

Program ini juga bertujuan mendidik masyarakat berbilang kaum mengenai tanggungjawab sosial dengan cara menderma darah dan secara tidak langsung membantu pihak Kerajaan mengumpulkan bekalan darah untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah ini mendapat kerjasama dari Hospital Pantai Ayer Keroh, Unit Tabung Darah, Hospital Melaka dan Klinik Pergigian, Poliklinik Komuniti Umbai yang telah dirasmikan oleh YB Encik Hasan Bin Abd Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri Melaka. Turut Hadir Encik Mohd Sulaiman Markumi, Pembantu Pembangunan Masyarakat yang mewakili Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Puan Nor Hafizah Che' Ibrahim, Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Puan Zubaidah Bakar, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jasin dan Ketua Umno Cawangan Pulai Darat Encik Yusof Che' Man.

Selain daripada Pemeriksaan Kesihatan secara Percuma dan Kempen Derma Darah, turut diadakan senamrobik perpaduan, pertandingan mewarna kanak-kanak tadika, ceramah & pameran kesihatan serta pemeriksaan pergigan secara percuma. Kami hanya mampu merancang tetapi Allah SWT maha berkuasa dan penentu segalanya. Pada hari program ini diadakan hujan telah turun dengan lebatnya bermula jam 4.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Walau bagaimanapun program ini tetap diteruskan seperti yang dirancang. Pada mulanya program ini kurang mendapat sambutan tetapi menjelang jam 9.00 pagi orang ramai telah mula datang sedikit demi sedikit.


Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah ini telah dihadiri kira-kira 282 orang pengunjung dan berjaya mengumpul sebanyak 33 pain darah walaupun sasaran sebenarnya ialah 100 pain. Walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan pada hari tersebut, tetapi Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Derma Darah tetap diadakan seperti mana yang telah dirangcang. Seluruh Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Tanam Lenggun Tumbuh Kelapa
Terbit Bunga Pucuk Mati
Budi Tuan Puan Saya Tak Lupa
Sudah Terpahat Di Dalam Hati

Tenanglah Tenang Air Di Laut
Sampan Kolek Mudik Ke Tanjung
Hati Terkenang Mulut Menyebut
Budi Yang Baik Rasa Nak Junjung

0 Comments:

Post a Comment