P. RAMLEE : INSAN SENI SEPANJANG ZAMAN

Tan Sri Dr. P. Ramlee (1929 - 1973) atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura. Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929 kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang sama ibu dengannya.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila tamat perang. Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya. P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun. Perkahwinan kedua P. Ramlee adalah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955, seorang kerabat diraja Negeri Perak yang sanggup meninggalkan alam istana demi orang yang dicintainya itu. Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P. Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebabkan perkahwinan mereka retak. Kali terakhir adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita dalam hidup P. Ramlee menyintai beliau atas sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama manakala Norizan menyintai P. Ramlee sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma menyintai P. Ramlee seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat. P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor".

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk "P.Ramlee the Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi" Pada hari ini tanggal 29 Mei 2009 telah genap 36 tahun Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee meninggalkan kita semua. Beliaulah anak seni yang akan dikenang sepanjang hayat. Beliau jugalah "Insan Seni Sepanjang Zaman".
Al-Fatihah

ANTARA SEJARAH BUKIT KEPONG DAN HERO KOMUNIS

Filem 'Bukit Kepong' adalah antara filem Melayu genre peperangan yang sangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkan keberanian kalangan anggota polis dan orang kampung menentang kekejaman gerombolan komunis itu kekal meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.Detik ketika seorang isteri mengambil tempat si suami, dalam mempertahan Balai Polis, detik beberapa orang kanak-kanak menangisi pemergian orang tua mereka - semuanya kekal melekat di minda dan hati penulis sehingga ke hari ini.Sejarah membuktikan bahawa gerakan ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM) yang memusnahkan Bukit Kepong dipimpin oleh seorang berbangsa Melayu bernama Ahmad Indera.Walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama, malahan menjadi Guru Agama - Ahmad Indera tidak terkecuali dipukau dengan faham komunisme.
Maka berlakulah insiden Bukit Kepong - saat Sarjan Jamil baru sahaja mengambil alih teraju keselamatan Bukit Kepong daripada pimpinan seorang Mat Salleh.Peristiwa yang berlaku pada jam 5.00 pagi, 23 Februari 1950 digambarkan dengan cukup baik oleh filem tersebut. Dengan filem itu juga, kita dapat didedahkan dan difahamkan dengan 'makna tersirat' di sebalik perjuangan menentang komunis.Ada darah yang mengalir. Ada nyawa yang melayang dalam usaha menentang sebuah 'isme' yang jelas tidak praktikal dan bermotif jahat. Faham anti-komunisme ditolak bukan sahaja atas nilai 'isme' yang lemah dan longgar - tetapi keganasan yang membawa padah kepada bangsa dan Negara.Dalam berhadapan dengan ratusan tentera komunis, ramai anggota polis terkorban. Keluarga anggota juga terbunuh. Beberapa orang di kalangan orang kampung yang berkhidmat sebagai Auxillary Police/Home Guard juga gugur. Balai Polis Bukit Kepong rentung.Ini semua bukan propaganda politik, sebaliknya 'kisah benar' yang membayangkan perjuangan kita beroleh kemerdekaan.
Kalangan ayah dan ibu kita yang kebetulan berada 'sezaman' dengan peristiwa tersebut mungkin punya faham yang berlainan dengan kita yang lahir di zaman ini.Apakah menjadi sesuatu yang sangat sukar memahamkan 'generasi x', 'generasi y' dan generasi z dengan hakikat sejarah ini?Hari ini, atas nilai sentimental yang juga longgar dan 'tidak berasas' - ada usaha untuk mendewakan kembali pejuang komunis di dalam minda masyarakat kita. Ada desakan untuk membawa kembali pejuang komunis sebagai hero.Entah kenapa, mudah sangat agaknya masyarakat kita memaafkan dosa kemanusiaan yang dilakukan oleh pejuang komunis sebelum ini? Dosa Bukit Kepong sahaja belum tentu mampu kita luputkan dari ingatan.Perjuangan yang diterasi oleh faham 'The Communist Manifesto' (1848) dijadikan asas kepada usaha mewujudkan masyarakat - yang kononnya akan berkongsi kegembiraan bersama, kerana tidak wujud 'perbezaan antara kelas' dan sebagainya.Bagi menjayakan cita komunis - mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membunuh.
Karl Marx dan Friedrich Engels menggariskan 'arah perjuangan' yang membenarkan apa sahaja cara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang sedemikian utopian sifatnya. Makanya, insiden Bukit Kepong dan banyak lagi kekejaman komunis bagaikan mahu dibuang begitu sahaja.Penulis beranggapan segala usaha ini mempunyai tujuan yang tidak jelas dan sengaja mahu mencabar kesahihan sejarah. Apapun alasan yang diberikan, ini semua tidak mampu menghilangkan luka sejarah di sebalik tindakan PKM selama ini.Masyarakat secara umum, apatah lagi veteran polis dan tentera mampu mengalirkan air mata - sekiranya jasa mereka dikesampingkan sambil menerima kembali 'musuh Negara' sebagai hero.Apapun jua, sememangnya kecenderungan untuk 'memperbaiki' jalur sejarah bagi menepati cita politik kumpulan dan individu tertentu menjadi sesuatu yang sangat ketara kebelakangan ini. Sejarah - dirasakan 'tidak benar' dan tidak selari dengan maksud dan cita politik kumpulan tertentu.
Maka itu, usaha mesti dilakukan untuk 'menulis semula' sejarah dengan lembaran yang lebih 'mesra politik' kepada kumpulan tertentu? Apakah langkah dan tindakan ini wajar?Dua minggu lepas, penulis terbaca tulisan seorang Editor Ekonomi, sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memperkatakan bagaimana Tragedi 13 Mei 1969 berlaku kerana 'mereka yang berkuasa; mahu kekal mempunyai kuasa'.Walaupun mempunyai jalur dan niat pemikiran yang agak 'nakal dan jahat' - namun inilah 'tafsiran baru' sejarah yang ingin dan mahu dilambak di dalam pemikiran masyarakat. 13hb Mei juga ditafsir dengan 'halatuju politik' sendiri dan sekaligus membuktikan kegagalan menerima 'objektiviti' sejarah.Di dalam laman 'Youtube' misalnya, banyak klip dan bicara yang memberi faham mengenai peristiwa 13 Mei (di kalangan pihak tertentu menggunakan istilah 513).
Setakat yang penulis lihat, hanya satu yang agak objektif - sementara yang lainnya menggunakan 13 Mei sebagai 'alat politik' untuk menegaskan bahawa merekalah yang sebenar-benarnya menjawab permasalahan 13 Mei.YB Dato' Seri Nizar membayangkan bagaimana kemampuan dirinya diletakkan sebagai Menteri Besar - walaupun didokong oleh rakan berbangsa lain sebagai perlambangan bahawa merekalah yang menjadi 'model baru' untuk Malaysia!Hakikatnya tidak begitu, dalam banyak kes dan isu - Kerajaan Negeri Perak yang lama kelihatan begitu didorong oleh 'politik ras' juga. Banyak keputusan dibuat lebih memihak kepada kaum tertentu.Wujud ketidakpuasan hati yang nyata di kalangan rakyat dengan segala keputusan yang dirasakan memihak kepada ras tertentu. Hakikatnya, memimpin negeri mahupun Negara tidak semudah yang disangka. Setiap tindakan dilihat di bawah kaca mata yang berbeda.
Meletakkan Kerajaan Negeri Perak Pimpinan Nizar - sebagai model 'Malaysia' hanya menghalalkan maksud dan niat politik. 13 Mei dijadikan umpan propaganda politik juga oleh pembangkang dalam mencari 'locus standi' sejarah dalam memastikan perjuangan dan kerjasama politik mereka dapat dihalalkan sedemikian rupa.Samada secara keseluruhan - kepimpinan Nizar mampu atau tidak menzahirkan semangat Malaysia itu adalah perkara kedua. Apakah Nizar terlalu yakin, jika tidak kerana 'hambatan undang-undang'; beliau akan menjadi Menteri Besar? Jauh panggang dari api.Komunisme sebagai 'isme' ber-kerajaan mahupun sebagai gerakan ketenteraan yang merosakkan fabrik kemasyarakatan Negara tidak wajar sama sekali diangkat sebagai perjuangan 'heroic' dan berasaskan kemerdekaan.Makna kemerdekaan tidak wajar difahami di atas landasan 'isme' yang sedemikian kejam dan menghancurkan Negara. Tidak ada asas 'sentimental' apa sekalipun yang wajar mengembalikan mereka sebagai hero di bumi bertuah Malaysia ini!Faham dan apresiasi sejarah inilah yang amat penting kita dedahkan di kalangan anak muda kita.
Mereka mungkin memahami sejarah secara 'tersurat'; tetapi belum mampu memahami sejarah secara 'halus dan tersirat'. Inilah yang selalu kita gagal untuk perjelaskan di kalangan anak muda.Memahami sejarah secara 'tersurat' akan hanya tertumpu kepada usaha penghafalan fakta - yang tidak mampu diisi secara 'makna dalam' kepada sebarang peristiwa yang berlaku. Jalan mudah - kita perbetulkan sejarah supaya sesuai dengan jalan politik kita sendiri.Komunisme bukan sahaja menarik perhatian segelintir masyarakat Cina, malahan ada juga kalangan orang Melayu yang terbuai dengan 'nilai komunisme'. Ahmad Indera adalah contoh kecil.Sewaktu pengaruh PKM berleluasa - adanya gerakan yang digelar sebagai 'Min Yuen' (gerakan rakyat) yang menjadi kekuatan moral kepada gerakan komunisme. Bukan secara keseluruhan kerana simpati kepada gerakan komunisme; tetapi lebih kepada takut dizalimi oleh PKM.Orang Cina juga berhadapan dengan dugaan yang bukan kecil sewaktu PKM berleluasa. Semua ini hanya mampu ditangani dengan usaha Rancangan Briggs dan pengwujudan kampung-kampung baru.Justeru, komunisme bukanlah suatu gerakan yang memberikan syurga kepada mana-mana bangsa! Hakikat sejarah ini jangan sesekali kita tolak dan ketepikan. Dosa menjahanam bangsa dan Negara jangan mudah di 'pinggirkan' dengan nilai sentimental apapun jua. Lebih penting lagi, adalah untuk kita sama-sama melihat jauh ke hadapan - dan menerima hakikat sejarah seadanya.
Trend 'memperolok dan memperbetul' sejarah ini dimulakan oleh kalangan ahli politik yang bankrap idea dan gagasan. Dengan mudah, sejarah dijadikan insiden 'prima facie' yang membenarkan tindakan mereka untuk membuka ruang pemahaman sejarah yang baru. Asalkan ianya mampu ditafsir dengan omongan dan retorika kosong - sejarah dijadikan 'alat politik'.Penulis bersetuju dan mengalu-alukan usaha mengembalikan faham sejarah 'sebenar'; dengan nilai objektiviti yang luhur dan mendalam. Sejarah jangan dijadikan bahan dagang politik, apatah lagi menjadi alat untuk membenarkan sikap dan fikrah ekstremisme.Kita wajar melihat semula sejarah sebagai sumber kekuatan dan jatidiri bangsa - dan bukannya 'alat politik songsang' yang merosakkan.Rakyat wajar membuka mata bahawa mereka yang gemar 'menulis semula' sejarah dengan kepentingan politik adalah kalangan yang sangat terdesak dan cuba untuk memberi kekuatan kepada pelbagai tindakan yang merosakkan.
Kita tidak mahu sejarah menjadi 'fiksyen' hanya kerana mahu memastikan segelintir pihak beroleh kelebihan politik.Kita sebolehnya tidak mahu pemergian Allahyarham Sarjan Jamil dan rakan-rakan di Bukit Kepong bagai dijadikan 'permainan politik' orang yang mahu membangkitkan elemen heroisme dalam gerakan komunis.Sarjan Jamil dan rakan-rakannya di Bukit Keponglah yang sebenarnya hero bangsa - yang lebih wajar diangkat sebagai kelompok yang dihormati. Bukankah lebih elok, dengan semangat 'Satu Malaysia', kalangan pemuka politik bukan berbangsa Melayu juga mengakui hakikat ini.Darah yang mengalir di Bukit Kepong, malahan di seluruh Negara - tidak akan mampu hilang begitu sahaja.Faham komunis, faham yang ingin mewujudkan 'anarcho-communism' inilah yang sebenarnya merosakkan fabrik sosial bangsa.Kepul asap 23 Februari 1950 - itu membayangkan betapa bangsa pernah 'terbakar' dek karenah komunisme ini. Hentikanlah mengangkat mereka sebagai 'hero'; kerana kita ada 'wira' yang sebenar.