HAKIM : ZAMBRY MB SAH PERAK

Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.Gembira dengan keputusan tersebut di Slim River, Zambry menyifatkannya "kebenaran telah tiba."

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

E-RT RAPATKAN HUBUNGAN KRT

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kini membangunkan prasarana teknologi maklumat, e-Rukun Tetangga (e-RT) untuk membolehkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dihubungi secara online. Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan, berkata e-RT sedang dibangunkan dengan kos RM20 juta dan kini sedang dikemaskinikan. "e-RT akan memudahkan perhubungan dan penyaluran maklumat di antara jabatan dengan lebih 3000 KRT di seluruh negara. “Usaha ini adalah komitmen jabatan ke arah pengurusan lebih profesional dalam jabatan dan juga Rukun Tetangga untuk saling memberi maklumat secara cepat dan tepat. "Dengan adanya e-RT, segala tindakan dan pemantauan akan menjadi lebih senang dan perhubungan akan menjadi lebih meluas kerana semua KRT di negara ini akan berhubung secara online," katanya. Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel e-RT di Pusat Aktiviti Perpaduan Tumpat di sini, kelmarin. Turut hadir Pengarah JPNIN Kelantan, Ab Hadi Mohd Salleh dan Pengarah Teknologi Maklumat JPNIN Putrajaya, Mazlan Junus. Sebagai projek perintis, tiga KRT di Kelantan iaitu ibu pejabat Kelantan dan pejabat daerah Tumpat dan Pasir Mas dipilih menggunakan e-RT. Azman berkata, projek itu akan membabitkan jaringan di seluruh negara, menjadi KRT sebagai pertubuhan pertama negara ini mempunyai sistem rangkaian online. Beliau berkata, dengan adanya e-RT juga akan membolehkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diperkenalkan kepada setiap KRT bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan. Bengkel sehari menyaksikan peserta dari beberapa KRT dalam jajahan Tumpat diberi tunjuk ajar oleh pegawai JPNIN dalam menggunakan sistem yang dibangunkan oleh jabatan.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-63 UMNO

Seluruh warga KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-63 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 2009 yang lalu. Kami berharap agar pemimpin-pemimpin UMNO akan melakukan perubahan untuk memastikan UMNNO terus relevan di kalangan orang melayu dan generasi muda pada hari ini. Kami juga berharap agar UMNO akan terus membela dan memperjuangkan hak-hak orang-orang melayu. Jangan biarkan bangsa melayu menjadi bangsa yang terpinggir di bumi sendiri. Seperti kata-kata Pahlawan Melayu Melaka, Laksamana Hang Tuah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" Pemimpim-pemimpin haruslah mendahulukan kehendak rakyat selaras dengan konsep " 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"

Selamat Menunaikan Umrah

Pengerusi dan Seluruh Jawatankuasa RT, Jiran Muda, Jiran Wanita dan Jiran Usia Emas KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Umrah kepada YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam yang akan berangkat ke Tanah Suci pada hari ini 13 Mei 2009. Kami semua mendoakan agar YB diberikan kesihatan yang baik untuk menjalankan ibadat dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci. Kami juga mendoakan agar YB akan selamat balik ke tanah air semula.

Selamat Hari Wesak

Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI WESAK 2009 kepada semua penganut buddha di seluruh negara. Rakyat Malaysia perlu melihat persamaan antara kaum, agama serta budaya dan mengelak terlalu menumpukan kepada perbezaan yang boleh membawa banyak keburukan dan masalah kepada negara. Ini kerana semua agama yang dianuti ini menyarankan penganutnya cintakan keamanan serta hidup harmoni walaupun berbeza latar belakang
"SELAMAT HARI WESAK 2009"

Selamat Hari Ibu

Bersempena Hari Ibu pada Hari ini tanggal 10 Mei 2009, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU kepada AJK RT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Pengerusi & Jawatankuasa Jiran Wanita RT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Jawatankuasa RT, Pengerusi & Jawatankuasa Jiran Wanita Rukun Tetangga Daerah Jasin, Negeri Melaka dan RT Seluruh Negara serta sesiapa sahaja insan yang bergelar IBU.











Dermalah Organ Untuk Sebuah Kehidupan

ANUGERAH KEHIDUPAN YANG TAK TERNILAI (Bahagian 1)

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar diperkatakan. Apatah lagi yang tersayang. Ia juga merupakan perkara yang rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk pesakit. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. Ia bagi keluarga simati. Untuk meringankan beban mental keluarga kita semasa pengakuan persetujuan untuk menderma organ dan tisu semasa hayat kita.

Dengan mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan, selepas anda meninggal dunia. Ini akan mengubah kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka dari maut.

Kita sedar bahawa isu penderma organ dan tisu adalah sesuatu isu yang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang sentiasa ditimbulkan.

SIAPAKAH YANG LAYAK MENJADI PENDERMA?

Sesiapa, sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu. Walau bagaimanapun mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibubapa atau penjaga terlebih dahulu.

APAKAH ITU PENDERMAAN ORGAN?

Ia adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk tujuan transplan selepas ianya meninggal dunia. Transplantasi (pemindahan organ) adalah sesuatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat. Pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusiaan yang mulia.

APAKAH ORGAN DAN TISU YANG BOLEH DIDERMAKAN?

Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah seperti buah pinggang, jantung, hati (hepar), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan pula adalah seperti mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan nyawa beberapa orang pesakit.

BILAKAH ORGAN DAN TISU SIPENDERMA ITU DIPEROLEHI?

Proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematiannya telah disahkan oleh dua orang doktor yang bertauliah. Doktor-doktor yang terlibat dalam pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Program Senamrobik Hari Buruh

Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Senamrobik Hari Buruh bersempena cuti Hari Pekerja pada 1 Mei 2009 yang lalu bertempat di Laman Perpaduan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program yang bermula pada jam 8 pagi itu telah dihadiri hampir 80 orang penduduk terdiri daripada kaum melayu, cina dan india.

Program Senamrobik Perpaduan Hari Buruh ini diadakan adalah bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara semua penduduk di taman ini tanpa mengira bangsa, agama, budaya, fahaman politik dan sebagainya. Program ini secara tidak langsung mendidik masyarakat supaya mengamalkan cara dan gaya hidup yang sihat melalui senaman.

Rata-rata penduduk yang hadir menyatakan tanda sokongan mereka terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Mereka berpendapat jika hendak melakukan senaman secara bersendirian adalah mustahil, hendak berjoging tidak mempunyai masa tetapi program senamrobik yang dianjurkan oleh Jawatankuasa RT ini amat bersesuaian sekali kerana mereka dapat berkumpul bersama-sama dan melakukan senaman secara berkumpulan tanpa merasa bosan atau sunyi. Mereka berharap Jawatankuasa RT dapat memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti yang berbentuk kesihatan seperti senamrobik ini pada masa-masa yang akan datang.