E-RT RAPATKAN HUBUNGAN KRT

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kini membangunkan prasarana teknologi maklumat, e-Rukun Tetangga (e-RT) untuk membolehkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dihubungi secara online. Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan, berkata e-RT sedang dibangunkan dengan kos RM20 juta dan kini sedang dikemaskinikan. "e-RT akan memudahkan perhubungan dan penyaluran maklumat di antara jabatan dengan lebih 3000 KRT di seluruh negara. “Usaha ini adalah komitmen jabatan ke arah pengurusan lebih profesional dalam jabatan dan juga Rukun Tetangga untuk saling memberi maklumat secara cepat dan tepat. "Dengan adanya e-RT, segala tindakan dan pemantauan akan menjadi lebih senang dan perhubungan akan menjadi lebih meluas kerana semua KRT di negara ini akan berhubung secara online," katanya. Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel e-RT di Pusat Aktiviti Perpaduan Tumpat di sini, kelmarin. Turut hadir Pengarah JPNIN Kelantan, Ab Hadi Mohd Salleh dan Pengarah Teknologi Maklumat JPNIN Putrajaya, Mazlan Junus. Sebagai projek perintis, tiga KRT di Kelantan iaitu ibu pejabat Kelantan dan pejabat daerah Tumpat dan Pasir Mas dipilih menggunakan e-RT. Azman berkata, projek itu akan membabitkan jaringan di seluruh negara, menjadi KRT sebagai pertubuhan pertama negara ini mempunyai sistem rangkaian online. Beliau berkata, dengan adanya e-RT juga akan membolehkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diperkenalkan kepada setiap KRT bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan. Bengkel sehari menyaksikan peserta dari beberapa KRT dalam jajahan Tumpat diberi tunjuk ajar oleh pegawai JPNIN dalam menggunakan sistem yang dibangunkan oleh jabatan.

0 Comments:

Post a Comment