HAKIM : ZAMBRY MB SAH PERAK

Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.Gembira dengan keputusan tersebut di Slim River, Zambry menyifatkannya "kebenaran telah tiba."

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

E-RT RAPATKAN HUBUNGAN KRT

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kini membangunkan prasarana teknologi maklumat, e-Rukun Tetangga (e-RT) untuk membolehkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dihubungi secara online. Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan, berkata e-RT sedang dibangunkan dengan kos RM20 juta dan kini sedang dikemaskinikan. "e-RT akan memudahkan perhubungan dan penyaluran maklumat di antara jabatan dengan lebih 3000 KRT di seluruh negara. “Usaha ini adalah komitmen jabatan ke arah pengurusan lebih profesional dalam jabatan dan juga Rukun Tetangga untuk saling memberi maklumat secara cepat dan tepat. "Dengan adanya e-RT, segala tindakan dan pemantauan akan menjadi lebih senang dan perhubungan akan menjadi lebih meluas kerana semua KRT di negara ini akan berhubung secara online," katanya. Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel e-RT di Pusat Aktiviti Perpaduan Tumpat di sini, kelmarin. Turut hadir Pengarah JPNIN Kelantan, Ab Hadi Mohd Salleh dan Pengarah Teknologi Maklumat JPNIN Putrajaya, Mazlan Junus. Sebagai projek perintis, tiga KRT di Kelantan iaitu ibu pejabat Kelantan dan pejabat daerah Tumpat dan Pasir Mas dipilih menggunakan e-RT. Azman berkata, projek itu akan membabitkan jaringan di seluruh negara, menjadi KRT sebagai pertubuhan pertama negara ini mempunyai sistem rangkaian online. Beliau berkata, dengan adanya e-RT juga akan membolehkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diperkenalkan kepada setiap KRT bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan. Bengkel sehari menyaksikan peserta dari beberapa KRT dalam jajahan Tumpat diberi tunjuk ajar oleh pegawai JPNIN dalam menggunakan sistem yang dibangunkan oleh jabatan.