"WARISAN KEBANGGAAN RAKYAT MELAKA"

MEMORIAL PENGISHYTIHARAN KEMERDEKAAN
Dibina pada tahun 1912, dahulunya adalah sebuah rumah Kelab Melaka, tetapi kini ditukar menjadi memorial yang menempatkan segala barang-barang berharga yang digunakan dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Bahan-bahan pameran terdiri daripada barang-barang peninggalan, pusaka, manuskrip-manuskrip, pita-pita video, filem dan slaid.

REPLIKA RUMAH MELAYU MELAKA

Rumah yang bercirikan senibina kesenian Melaka, melambangkan kegemilangannya pada kurun ke-19. Dibina oleh penghulu di situ, rumah ini dibina berasaskan kayu ukir yang membentuk setiap ruang rumah. Terletak 5km arah barat daya bandar Merlimau.

MAKAM HANG TUAH

Makam yang dihias untuk mengenang Laksamana Melaka yang telah berjaya mempertahankan Melaka dari segala serangan Siam dan Acheh serta mengangkat kedaulatan Melaka sebagai sebuah negara yang disegani. Keberanian, ketangkasan dan kebijaksanaan Hang Tuah menjadikan beliau seorang legenda yang disanjungi dan dihormati dalam sejarah Melaka.

Keberanian Hang Tuah dilihat sewaktu zaman remajanya apabila beliau seorang diri berjaya menahan seorang lelaki yang sedang mengamuk di Kampung Duyong. Ketangkasannya telah menarik perhatian Sultan dan dikurniakan jawatan hulubalang, beliau adalah hulubalang yang termuda sekali. Kata-kata Hang Tuah yang menjadi sebutan hingga ke hari ini ialah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia."

KOTA ST. JOHN

Dibina semula oleh orang-orang Belanda dalam kurun ke-18, yang pada asalnya merupakan gereja persendirian Portugis yang ditujukan khas untuk Paderi St. John. Kota ini mempunyai rekaan yang menarik iaitu meriam yang diletakkan menghadap kawasan pedalaman kerana di waktu itu, serangan ke atas Melaka datangnya dari sana berbanding dari laut.

PERIGI HANG TUAH

Terletak di Kampung Duyong, di mana Hang Tuah membesar bersama empat orang sahabatnya yang kemudian telah menjadi hulubalang Melaka. Perigi ini dikatakan menjadi tempat kediaman roh beliau yang menjelma sebagai buaya putih. Bagi orang biasa untuk melihat kelibat jelmaan itu adalah mustahil. Dipercayai hanya mereka yang berhati suci dan warak sahaja berpeluang melihatnya.

BANGUNAN STADHUYS ATAU BANGUNAN MERAH
Dibina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya, bangunan besar yang melambangkan senibina Belanda. Bangunan ini dijaga dengan rapi sebagaimana struktur asalnya dan kini menempatkan Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi. Antara baran pameran setiap hari ialah pakaian pengantin tradisi dan barang-barang peninggalan kegemilangan lampau Melaka.

KOTA A'FAMOSA
Kota yang dibina oleh orang-orang Portugis sewaktu menakluki Melaka pada tahun 1511. Mercu tanda Melaka dan mungkin merupakan subjek yang paling banyak diambil gambar selain daripada Stadhuys. Kota ini mengalami kerosakan teruk sewaktu penaklukan Belanda dan seterusnya dimusnahkan oleh British, namun dengan campurtangan dari Sir Stamford Raffles pada tahun 1808, sebahagian daripadanya berjaya diselamatkan, iaitu dinding pintu masuk, A'Famosa yang kekal hingga ke hari ini.

0 Comments:

Post a Comment