Pada hari sabtu 16 Ogos 2009 yang lalu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai, Melaka telah mengadakan MAJLIS KENDURI SYAABAN & PENYAMPAIAN SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADHAN 1430H/2009M kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini.


Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua ibu-ibu tunggal agar tidak merendahkan diri mereka yang berstatus ibu tunggal tetapi berusaha memperbaiki taraf kehidupan mereka kepada yang lebih baik pada masa akan datang. Beliau juga amat menggalakkan ibu-ibu tunggal agar tidak mengharapkan bantuan semata-mata. Beliau lebih berbangga sekiranya ibu-ibu tunggal tersebut berusaha meningkatkan taraf hidup dengan cara melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Ini adalah kerana kerajaan melalui Pusat Giat Mara menyediakan kursus-kursus kepada semua pihak termasuk ibu tunggal ke arah meningkatkan taraf hidup mereka.


Pada majlis ini, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad telah menyampaikan sumbangan kepada 20 orang penerima yang berupa beras fidyah yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir Encik Zakaria Bin Abu Bakar, Penghulu DUN Serkam, Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan Tuan Haji Ahmad Md Shah, Pengerusi Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz.


Disebabkan atas ketentuan yang tidak dapat dielakkan, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad tidak dapat menghadiri majlis kenduri yang diadakan. Walau bagaimanapun, sebelum pulang, YB Tuan Haji Ghazale sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan para penduduk yang turut hadir dalam majlis ini.







0 Comments:

Post a Comment