PERTANDINGAN BERZANJI & MARHABAN PERINGKAT DUN SERKAM 2009M/1430H

Pada hari Sabtu 4 Julai 2009 yang lalu bertempat di Masjid Al-Khautsar, Kampung Umbai Pantai telah diadakan Pertandingan Berzanji dan Marhaban Peringkat DUN Serkam bagi tahun 2009 bersamaan 1430 Hijrah. Program yang dianjurkan oleh Penyelaras UMNO DUN Serkam dengan kerjasama JAPERUN DUN Serkam ini adalah bertujuan menghidupkan dan mengaktifkan semula semangat berzanji dan marhaban yang semakin lama semakin dilupakan terutama oleh golongan muda.
Pertandingan Berzanji dan Marhaban Peringkat DUN Serkam ini telah disertai sebanyak 7 buah kumpulan yang mewakili masjid-masjid di dalam DUN Serkam. Kumpulan Masjid AR-Rahman, Kampung Pulai turut menyertai kumpulan ini yang mana kesemua ahlinya terdiri daripada penduduk-penduduk di Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Seramai 5 orang ahli kumpulan berzanji dan marhaban Masjid AR-Rahman, Kampung Pulai ini merupakan Jawatankuasa RT Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Walaupun hanya memperolehi hadiah saguhati, kumpulan Masjid Ar-Rahman ini harus dipuji diatas usaha yang ditunjukkan semasa pertandingan ini diadakan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB. Datuk Wira Haji Ahmad Bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin. Turut hadir YB. Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam, Encik Zakaria Bin Abu Bakar, Penghulu DUN Serkam, Tuan Haji Musa Ahmad, Penyelaras UMNO DUN Serkam. Dalam ucapan penutupnya, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad, ADUN Kawasan Serkam melahirkan rasa bangga beliau kerana program sebegini mendapat penyertaan yang menggalakkan. Lebih membanggakan beliau apabila program ini turut disertai oleh golongan muda. Beliau Berharap agar pada masa akan datang akan ada lebih ramai lagi golongan muda yang menyertai program ini.
Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada YB. Tuan Haji Ghazale Muhammad, ADUN Kawasan Serkam diatas usaha murni yang ditunjukkan oleh YB dalam memartabatkan seni berzanji dan marhaban yang semakin dilupakan. Saya berharap pada masa akan datang YB akan lebih banyak dapat menganjurkan program-program berbentuk keagaaman seperti ini di DUN Serkam ini.

Saya juga secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli kumpulan, Kumpulan Masjid Ar- Rahman Kampung Pulai di atas penyertaan tuan-tuan dalam pertandingan ini. Walaupun tidak memperoleh kemenangan, usaha serta semangat juang yang tuan-tuan tunjukkan amatlah membanggakan. Kalah sekali bukan bermakna kalah selamanya. Insyallah pada pertandingan akan datang kumpulan Masjid Ar-Rahman akan dapat memperbaiki dan mempertingkatkan mutu pembacaan, penyampaian, lagu, sebutan dan sebagainya.

0 Comments:

Post a Comment