KUNJUNGAN MUHIBBAH DEEPAVALI 2009
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 11:37 AMPada 18 Oktober 2009 yang lalu, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Kunjungan Muhibbah Deepavali 2009 ke atas Timbalan Pengerusi KRT yang juga Pengerusi MIC Taman Datuk Haji Abdul Aziz Encik P. Inakownder di rumahnya baru-baru ini.
Kunjungan ini bersempena meraikan Hari Deepavali yang disambut masyarakat India di negara ini pada 17 Oktober 2009 yang lalu. Program ini bertujuan merapatkan hubungan dan perpaduan antara semua penduduk yang berbilang kaum yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini.
Ianya juga sebagai menghormati dan merayakan Hari Deepavali yang disambut oleh penganut India yang meraikan dalam suasana aman damai dan penuh perpaduan dan secara tidak langsung dapat merealisasikan konsep "1 Malaysia" yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Saya sebagai Setiausaha KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz berharap dengan adanya program seumpama ini, penduduk dapat hidup aman damai dan harmoni serta mengekalkan semangat perpaduan sedia ada tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik. Saya juga berharap agar program ini dapat dujadikan acara tahunan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
Pengerusi dan Jawatankuasa KRT serta semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2009 kepada semua masyarakat India yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
1 Malaysia : Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan
Pengerusi dan Jawatankuasa Rukun Tetangga serta Semua Penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz merakamkan setinggi-tinggi ucapan Tahniah kepada YB Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam Merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka di atas penganugerahan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran DATUK sempena Hari Jadi Ke-71, T.Y.T. Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Haji Mohd Khalil Yaakub pada 10 Oktober 2009.
Darjah Mulia Seri Melaka
Kami semua akan terus berdiri teguh dibelakang YB Datuk untuk sama-sama mewujudkan perpaduan kaum di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini bagi menzahirkan hasrat 1 Malaysia.
Tahniah YB Datuk!!
Seperti kelaziman setiap tahun apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri, Jawatankuasa Madrasah dan Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan Program Takbir Raya dari rumah ke rumah di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Program ini diadakan bersempena menyambut kedatangan hari lebaran. Selain itu, ia juga sebagai satu cara menghidupkan malam raya dengan bertakbir memuji Tuhan Yang Maha Esa. Selain itu ia juga sebagai satu cara merapatkan hubungan dan mengeratkan silaturrahim antara semua penduduk di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini. Program Takbir Raya ini diadakan selepas solat Isyak dan habis kira-kira jam 1 pagi. Pada tahun ini golongan muda masih mendominasi program ini. Hampir 70 peratus peserta program ini ialah golongan muda. Ia adalah satu petanda positif untuk menarik golongan muda mendekatkan diri dengan program yang berbentuk keagamaan.
Pada petang 19 September 2009 iaitu "Petang Hari Membantai" umat Islam di seluruh negara mahupun seluruh dunia sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Segenap lapisan masyarakat samada kaya ataupun miskin, tua ataupun muda sibuk membuat persiapan menyambut hari lebaran setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah mengadakan Program Semarak Aidilfitri 2009. Program ini merupakan program pemberian sumbangan kepada semua ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz. Program ini bertujuan membantu meringankan bebanan golongan yang tidak bernasib baik menyambut hari lebaran. Walaupun sumbangan yang disampaikan tidak seberapa nilainya tetapi ia memberi pengertian yang begitu besar kepada golongan ini. Sekurang-kurangnya ada juga pihak yang prihatin terhadap nasib malang mereka.
Selain itu juga, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada semua Jawatankuasanya bersempena menyambut Hari Raya AIdilfitr 1430H/2009M.
Pengerusi KRT sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ibu tunggal semasa Program Semarak Aidilfitri 2009.
Tarikh pada gambar bukanlah tarikh sebenar. Ia adalah kesilapan "setting pada kamera Setiausaha RT. Kesilapan amatlah dikesali.
PROGRAM SEMARAK AIDILFITRI & PROGRAM TAKBIR RAYA 1430H/2009M
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 9:36 AMAdalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM SEMARAK AIDILFITRI 1430H/2009M pada hari Sabtu 19 September 2009 jam 2.00 petang. Program ini ialah program penyampaian sumbangan yang berupa beras kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz bersempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Selain itu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan PROGRAM TAKBIR RAYA 1430H/2009M pada sebelah malamnya pula selepas solat Isyak. Program Takbir Raya ini telah menjadi acara tahunan Jawatankuasa KRT dan Madrasah setiap kali hari lebaran tiba. Semua penduduk Taman Datuk Haji Abdul Aziz adalah dijemput dan dialu-alukan menyertai 2 program yang telah dirancang ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin.
Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah kota
Saudara jauh datang bertandang
Bermaaf-maafan sesama kita
Masak udang dan gulai ketam
Pembasuh mulut kuih keria
Berbunyi mercun berdentum-dentam
Riang gembira di Hari Raya
Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan
Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban
Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Kita menyambut Hari Raya
Adik tersayang segak bergaya
Mengait kuih di atas para
Suasana riang di Hari Raya
Bermaaf-maafan riang gembira

SALAM AIDILFITRI DARI SELURUH JAWATANKUASA RT & PARA PENDUDUK
TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ, KAMPUNG PULAI
MERLIMAU, MELAKA
TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ, KAMPUNG PULAI
MERLIMAU, MELAKA
PROGRAM CAHAYA RAMADHAN PERINGKAT DAERAH JASIN 2009
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 4:56 PMPada 14 September 2009, bertempat di Pejabat Perpaduan Daerah Jasin, Penyelaras KRT Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Jasin telah mengadakan Program Cahaya Ramadhan Peringkat Daerah Jasin 2009. Program yang diadakan ini adalah bertujuan meraikan Bulan Ramadhan dan juga Bulan Syawal 1430H yang akan disambut tidak berapa lama lagi. Pada program ini, pihak penganjur telah menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim samada dari kaum melayu, cina mahupun india dari seluruh Daerah Jasin. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Wira Haji Ahmad Bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah menghantar 4 orang AJK nya bagi menyertai majlis ini. KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz juga telah menghantar seorang penerima anak yatim dari kaum india. Semua yang hadir telah sama-sama berbuka puasa bersama YB Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah. Majlis ditangguhkan kira-kira jam 8.00 Malam.
Subscribe to:
Posts (Atom)







