Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H/2009M
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 4:50 PM
Sabda Nabi S.A.W….
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Pengerusi & Ahli Jawatankuasa
KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz
Merlimau, Melaka
Dengan ini mengambil kesempatan ingin mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H/2009M
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. Insyallah

"WARISAN KEBANGGAAN RAKYAT MELAKA"
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 10:13 AMREPLIKA RUMAH MELAYU MELAKA
Rumah yang bercirikan senibina kesenian Melaka, melambangkan kegemilangannya pada kurun ke-19. Dibina oleh penghulu di situ, rumah ini dibina berasaskan kayu ukir yang membentuk setiap ruang rumah. Terletak 5km arah barat daya bandar Merlimau.MAKAM HANG TUAH
Makam yang dihias untuk mengenang Laksamana Melaka yang telah berjaya mempertahankan Melaka dari segala serangan Siam dan Acheh serta mengangkat kedaulatan Melaka sebagai sebuah negara yang disegani. Keberanian, ketangkasan dan kebijaksanaan Hang Tuah menjadikan beliau seorang legenda yang disanjungi dan dihormati dalam sejarah Melaka.
Keberanian Hang Tuah dilihat sewaktu zaman remajanya apabila beliau seorang diri berjaya menahan seorang lelaki yang sedang mengamuk di Kampung Duyong. Ketangkasannya telah menarik perhatian Sultan dan dikurniakan jawatan hulubalang, beliau adalah hulubalang yang termuda sekali. Kata-kata Hang Tuah yang menjadi sebutan hingga ke hari ini ialah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia."
KOTA ST. JOHN
Dibina semula oleh orang-orang Belanda dalam kurun ke-18, yang pada asalnya merupakan gereja persendirian Portugis yang ditujukan khas untuk Paderi St. John. Kota ini mempunyai rekaan yang menarik iaitu meriam yang diletakkan menghadap kawasan pedalaman kerana di waktu itu, serangan ke atas Melaka datangnya dari sana berbanding dari laut.
PERIGI HANG TUAH
MAJLIS KENDURI SYAABAN & PENYAMPAIAN BANTUAN SEMPENA BULAN RAMADHAN 1430H/2009M
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 9:14 AM
Pada hari sabtu 16 Ogos 2009 yang lalu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai, Melaka telah mengadakan MAJLIS KENDURI SYAABAN & PENYAMPAIAN SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADHAN 1430H/2009M kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua ibu-ibu tunggal agar tidak merendahkan diri mereka yang berstatus ibu tunggal tetapi berusaha memperbaiki taraf kehidupan mereka kepada yang lebih baik pada masa akan datang. Beliau juga amat menggalakkan ibu-ibu tunggal agar tidak mengharapkan bantuan semata-mata. Beliau lebih berbangga sekiranya ibu-ibu tunggal tersebut berusaha meningkatkan taraf hidup dengan cara melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Ini adalah kerana kerajaan melalui Pusat Giat Mara menyediakan kursus-kursus kepada semua pihak termasuk ibu tunggal ke arah meningkatkan taraf hidup mereka.
Pada majlis ini, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad telah menyampaikan sumbangan kepada 20 orang penerima yang berupa beras fidyah yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir Encik Zakaria Bin Abu Bakar, Penghulu DUN Serkam, Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan Tuan Haji Ahmad Md Shah, Pengerusi Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
Disebabkan atas ketentuan yang tidak dapat dielakkan, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad tidak dapat menghadiri majlis kenduri yang diadakan. Walau bagaimanapun, sebelum pulang, YB Tuan Haji Ghazale sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan para penduduk yang turut hadir dalam majlis ini.


