LOGO & MASKOT SUKAN MALAYSIA (SUKMA) XIII, MELAKA 2010
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 9:22 AMLogo Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010
Kancil adalah antara identiti utama Negeri Melaka kerana ia merupakan haiwan yang begitu sinonim dengan sejarah Negeri Melaka. Dalam logo ini, Kancil direka dalam aksi melompat untuk mencerminkan nilai kecergasan dan kecerdasan atlit. Elemen garisan merah dan biru yang membentuk Kancil pula menggambarkan keyakinan penganjur dan kemeriahan SUKMA XIII. Tompokan warna merah dan biru pada badan Kancil menunjukkan keharmonian dan semangat kesukanan. Warna biru, merah dan kuning merupakan warna yang terdapat pada bendera Negeri Melaka. Secara keseluruhannya, logo ini membentuk segi tiga yang melambangkan dinamik dan menuju puncak kecemerlangan.

Sang Kancil, haiwan lagenda merupakan maskot yang dipilih bagi SUKMA XIII, Melaka 2010.
Rekabentuk maskot SUKMA XIII ini berimejkan pahlawan Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah. Ia bertujuan menggambarkan imej negeri Melaka sebagai sebuah negeri bersejarah. Aksi maskot mencerminkan ketangkasan, keberanian dan kebijaksanaan.
Nama maskot SUKMA XIII, Melaka 2010 dipilih sebagai ”tuah” sempena nama pahlawan tersebut. Pemilihan nama ini juga memberi maksud negeri Melaka sebagai sebuah negeri yang bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah SUKMA XIII pada 2010.
PROGRAM LAWATAN INTEGRASI KRT CACAR BARU, PAKA, DUNGUN, TERENGGANU DAN PELAJAR UTEM KE KRT TDHAA
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 2:19 PMPara peserta Program Lawatan Integrasi telah selamat tiba di tempat penginapan iaitu di Asrama KEMAS Parlimen Jasin tepat pada jam 5.00 petang 4 Mac 2010 dan disambut oleh sebahagian Ahli Jawatankuasa KRT TDHAA yang diketuai oleh Setiausaha KRT TDHAA. Setelah diberikan taklimat mengenai program yang telah diatur, para peserta dibawa ke asrama penginapan untuk berehat. Makan malam peserta telah dihidangkan pada jam 6.30 petangan menu masakan Melaka. Kami merancang dan Allah SWT yang menentukan segalanya. Kehadiran semua peserta program ini telah diuji dengan ketiadaan bekalan air pada 4 Mac 2010 yang lalu. Walau bagaimanapun ianya tidak mematahkan semangat semua peserta untuk meneruskan agenda yang telah dirancang.
Tepat jam 8.00 malam, para peserta telah dibawa ke Bandar Hilir untuk menikmati panorama Bandaraya Melaka pada waktu malam. Para peserta telah dibawa menaiki Menara Taming Sari dan menikmati panorama waktu malam sekitar Bandar Hilir pada ketinggian 110 meter. Setelah itu, semua peserta telah dibawa untuk menyusuri Sungai Melaka dengan menggunakan Melaka River Cruise yang bermula di Taman Rempah. Para peserta nyata gembira dapat menikmati keindahan Melaka pada waktu malam dengan 2 produk pelancongan yang ada di Bandaraya Melaka pada masa kini.
Program pada hari ke-2, 5 Mac 2010 bermula pada jam 8.00 pagi dengan semua peserta dan pelajar-pelajar UTEM telah bersarapan pagi bersama-sama dengan semua AJK KRT TDHAA. Kemesraan dan keakraban antara kedua-dua AJK KRT dapat dilihat sepanjang program sarapan pagi ini walaupun semua tetamu hanya dihidangkan dengan menu “Lontong, 2 jenis kuih dan air Teh O”. Setelah bersarapan, para peserta telah dibawa melawat ke Tadika Perpaduan TDHAA. Tepat jam 9.15 pagi sesi Taklimat dan Dialog mengambil tempat di Bilik Gerakan KRT TDHAA. Pengerusi KRT TDHAA telah menyampaikan taklimat mengenai perjalanan dan program-program yang telah dijalankan oleh KRT TDHAA sepanjang 2009. Majlis taklimat dan dialog ini juga melibatkan Puan Nor Hafizah Bte Che’ Iberahim, Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Encik Khairul Nizam Bin Alias, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Encik Kamaruddin Bin Puteh, Pengerusi KRT Cacar Baru, Paka, Dungun, Terengganu dan wakil dari Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).
Setelah selesai sesi taklimat dan dialog, semua peserta dan pelajar UTEM telah dibawa melawat ke beberapa perusahaan yang terdapat di sekitar KRT TDHAA antaranya Perusahaan Membuat Tempe, Perusahaan Membuat Dodol, Perusahaan Membuat Kompang dan Melawat ke Kompleks Keti Nelayan Pantai Siring yang baru dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 4 Februari 2010 yang lalu semasa Lawatan Kerja Sehari YAB Perdana Menteri Malaysia Ke Melaka. Lawatan ini telah diketuai oleh Penolong Setiausaha KRT TDHAA, Encik Sahar Jiman.
Semua peserta telah dibawa ke Masjid Ar- Rahman, Kampung Pulai untuk bersembahyang jumaat bersama-sama YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhamad, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam.
Selepas solat jumaat, semua peserta telah berkumpul di Laman Perpaduan, KRT TDHAA untuk Majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama YB. ADUN Serkam dan Penutup Program Lawatan Integrasi. YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhamad, ADUN Kawasan Serkam telah meluangkan masa meraikan semua peserta dan menutup Program Lawatan Integrasi ini. Turut hadir Encik Khalil Bin Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Puan Nor Hafizah Bte Che’ Iberahim, Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Encik Khairul Nizam Bin Alias, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Tuan Haji Seman Bin Deros, Pengerusi JKKK Kampung Pulai, Encik Kamaruddin Puteh, Pengerusi KRT Cacar Baru dan Encik Husin Bin Nasir, Pengerusi KRT TDHAA.
Setelah penyampaian cenderamata kepada semua tetamu jemputan oleh kedua-dua Pengerusi KRT, semua peserta Program Lawatan Integrasi mengambil kesempatan bergambar bersama-sama dengan YB. Datuk sebelum YB. Datuk meninggalkan majlis. Semua peserta dan AJK KRT TDHAA juga mengambil kesempatan bergambar bersama-sama Encik Khalil Bin Haji Ahmad, Pengarah JPNIN Negeri Melaka di akhir majlis. Sebelum bertolak pulang, semua peserta telah bergerak untuk melawat ke MITC.
Selaku Setiausaha KRT TDHAA, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak Pengerusi dan semua AJK KRT TDHAA diatas kekurangan, ketidakselesaan atau kelemahan pihak kami sepanjang meraikan kedatangan semua peserta Program Lawatan Integrasi KRT Cacar Baru, Paka, Dungun, Terengganu dan Pelajar UTEM ke KRT TDHAA. Harap Tuan/Puan semua tidak serik untuk berkunjung ke KRT TDHAA lagi.
Ucapan perasmian YB. Datuk Haji Ghazale Bin Muhammad, ADUN Kawasan Serkam
Ucapan Pengarah JPNIN Negeri MelakaPeserta menuju untuk menaiki Menara Taming Sari
SALAM MAULIDUR RASUL 1431H / 2010M
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 12:37 PMPROGRAM LAWATAN INTEGRASI KRT CACAR BARU, PAKA, DUNGUN, TERENGGANU DAN LAWATAN KAJIAN PELAJAR UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEM) KE KRT TDHAA
0 comments Posted by Halim Abdul Majid (Setiausaha RT) at 11:05 AMPada 4 dan 5 Mac 2010 akan datang, KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan menerima kunjungan para peserta Program Lawatan Integrasi dari KRT Cacar Baru, Paka, Dungun, Terengganu dan Lawatan Kajian pelajar-pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTEM).
Program Lawatan Integrasi ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua-dua KRT iaitu KRT Cacar Baru, Terengganu dan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Melaka. Program Lawatan Integrasi ini juga membuktikan semua KRT diseluruh negara adalah bersaudara tanpa mengira sempadan negeri, agama, bangsa mahupun fahaman politik. Selain daripada itu, pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) juga akan membuat kajian bagaimana penganjuran sesuatu aktiviti yang bersifat majmuk dapat menyatupadukan serta merapatkan hubungan kekeluargaan penduduk-penduduk khususnya di Taman Datuk Haji Abdul Aziz yang berbilang kaum dan secara tidak langsung merealisasikan hasrat 1 Malaysia.
Sepanjang 2 hari, Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz telah merangka pelbagai aktiviti untuk semua tetamu. Antara aktiviti yang dirangka ialah:-
- Lawatan ke Bandaraya Melaka Bersejarah, Menaiki Menara Taming Sari, Menyusuri Sungai Melaka dengan menggunakan Melaka River Cruise, Melawat Jonker Walk dan lain-lain lagi.
- Taklimat dan Dialog Bersama Pegawai JPNIN Negeri Melaka, Pegawai JPNIN Daerah Jasin dan AJK KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
- Lawatan ke Tadika Perpaduan KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz.
- Lawatan ke beberapa perusahaan yang ada di Kampung Pulai seperti Perusahaan Membuat dan Membungkus Dodol, Perusahaan Membuat Kompang dan Perusahaan Membuat Kuih Tradisional.
- Solat Jumat Bersama YB. Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan penduduk-penduduk Kampung Pulai di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai.
- Gotong royong persiapan Majlis Jamuan Teh Bersama YB. ADUN Serkam Sempena Tahun Baru Cina dan Penutup Program Lawatan Integrasi.
- Majlis Jamuan Teh Bersama YB. ADUN Serkam Sempena Tahun Baru Cina dan Penutup Program Lawatan Integrasi.
Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Jawatankuasa KRT Cacar Baru, Pelajar UTEM hanya mampu merancang dan hanya Allah SWT yang menentukan. Kami berharap agar segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat/faedah kepada semua pihak.
Dimaklumkan bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H Peringkat Taman Datuk Haji Abdul Aziz pada 17 Disember 2009 iaitu hari Khamis bermula jam 6.30 Petang bertempat di Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz.









