SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H/2009M

Sabda Nabi S.A.W….

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Pengerusi & Ahli Jawatankuasa

KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz

Merlimau, Melaka

Dengan ini mengambil kesempatan ingin mengucapkan

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H/2009M

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. Insyallah



"WARISAN KEBANGGAAN RAKYAT MELAKA"

MEMORIAL PENGISHYTIHARAN KEMERDEKAAN
Dibina pada tahun 1912, dahulunya adalah sebuah rumah Kelab Melaka, tetapi kini ditukar menjadi memorial yang menempatkan segala barang-barang berharga yang digunakan dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Bahan-bahan pameran terdiri daripada barang-barang peninggalan, pusaka, manuskrip-manuskrip, pita-pita video, filem dan slaid.

REPLIKA RUMAH MELAYU MELAKA

Rumah yang bercirikan senibina kesenian Melaka, melambangkan kegemilangannya pada kurun ke-19. Dibina oleh penghulu di situ, rumah ini dibina berasaskan kayu ukir yang membentuk setiap ruang rumah. Terletak 5km arah barat daya bandar Merlimau.

MAKAM HANG TUAH

Makam yang dihias untuk mengenang Laksamana Melaka yang telah berjaya mempertahankan Melaka dari segala serangan Siam dan Acheh serta mengangkat kedaulatan Melaka sebagai sebuah negara yang disegani. Keberanian, ketangkasan dan kebijaksanaan Hang Tuah menjadikan beliau seorang legenda yang disanjungi dan dihormati dalam sejarah Melaka.

Keberanian Hang Tuah dilihat sewaktu zaman remajanya apabila beliau seorang diri berjaya menahan seorang lelaki yang sedang mengamuk di Kampung Duyong. Ketangkasannya telah menarik perhatian Sultan dan dikurniakan jawatan hulubalang, beliau adalah hulubalang yang termuda sekali. Kata-kata Hang Tuah yang menjadi sebutan hingga ke hari ini ialah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia."

KOTA ST. JOHN

Dibina semula oleh orang-orang Belanda dalam kurun ke-18, yang pada asalnya merupakan gereja persendirian Portugis yang ditujukan khas untuk Paderi St. John. Kota ini mempunyai rekaan yang menarik iaitu meriam yang diletakkan menghadap kawasan pedalaman kerana di waktu itu, serangan ke atas Melaka datangnya dari sana berbanding dari laut.

PERIGI HANG TUAH

Terletak di Kampung Duyong, di mana Hang Tuah membesar bersama empat orang sahabatnya yang kemudian telah menjadi hulubalang Melaka. Perigi ini dikatakan menjadi tempat kediaman roh beliau yang menjelma sebagai buaya putih. Bagi orang biasa untuk melihat kelibat jelmaan itu adalah mustahil. Dipercayai hanya mereka yang berhati suci dan warak sahaja berpeluang melihatnya.

BANGUNAN STADHUYS ATAU BANGUNAN MERAH
Dibina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya, bangunan besar yang melambangkan senibina Belanda. Bangunan ini dijaga dengan rapi sebagaimana struktur asalnya dan kini menempatkan Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi. Antara baran pameran setiap hari ialah pakaian pengantin tradisi dan barang-barang peninggalan kegemilangan lampau Melaka.

KOTA A'FAMOSA
Kota yang dibina oleh orang-orang Portugis sewaktu menakluki Melaka pada tahun 1511. Mercu tanda Melaka dan mungkin merupakan subjek yang paling banyak diambil gambar selain daripada Stadhuys. Kota ini mengalami kerosakan teruk sewaktu penaklukan Belanda dan seterusnya dimusnahkan oleh British, namun dengan campurtangan dari Sir Stamford Raffles pada tahun 1808, sebahagian daripadanya berjaya diselamatkan, iaitu dinding pintu masuk, A'Famosa yang kekal hingga ke hari ini.

Pada hari sabtu 16 Ogos 2009 yang lalu, Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai, Melaka telah mengadakan MAJLIS KENDURI SYAABAN & PENYAMPAIAN SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADHAN 1430H/2009M kepada ibu-ibu tunggal yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz ini.


Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua ibu-ibu tunggal agar tidak merendahkan diri mereka yang berstatus ibu tunggal tetapi berusaha memperbaiki taraf kehidupan mereka kepada yang lebih baik pada masa akan datang. Beliau juga amat menggalakkan ibu-ibu tunggal agar tidak mengharapkan bantuan semata-mata. Beliau lebih berbangga sekiranya ibu-ibu tunggal tersebut berusaha meningkatkan taraf hidup dengan cara melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Ini adalah kerana kerajaan melalui Pusat Giat Mara menyediakan kursus-kursus kepada semua pihak termasuk ibu tunggal ke arah meningkatkan taraf hidup mereka.


Pada majlis ini, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad telah menyampaikan sumbangan kepada 20 orang penerima yang berupa beras fidyah yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir Encik Zakaria Bin Abu Bakar, Penghulu DUN Serkam, Encik Husin Nasir, Pengerusi KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan Tuan Haji Ahmad Md Shah, Pengerusi Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz.


Disebabkan atas ketentuan yang tidak dapat dielakkan, YB Tuan Haji Ghazale Muhammad tidak dapat menghadiri majlis kenduri yang diadakan. Walau bagaimanapun, sebelum pulang, YB Tuan Haji Ghazale sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan para penduduk yang turut hadir dalam majlis ini.







HAPPY BIRTHDAY JPNIN!!




Seluruh Warga KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Ke-40 Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Semoga semua pihak dapat berkerjasama dalam mempelbagaikan aktiviti yang berfaedah untuk masyarakat dan merealisasikan konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Y.A.B Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

NISFU SYAABAN

Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1.Solat sunat nisfu sya'aban - terdapat dua cara mengerjakan solat sunat ini

Sembahyang 100 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 11 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah.

Sembahyang 10 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 100 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya

i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman

3. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)

SELAMAT HARI PAHLAWAN


"PAHLAWAN"

...aku mahu menjadi seperti Abu Bakar,
menjalin agung sebuah persahabatan,
setia berkorban demi kebenaran

...
...aku mahu menjadi seperti Umar,
berdiri tatkala tunduknya manusia,
bersuara tatkala diammnya mereka

...
...aku mahu menjadi seteguh Ibnu Zubair,
yang setia menahan panahan hajjaz,
bersama si ibu tua,
lantas mati dalam dakapan sejarah

...
...dan juga menjadi seteguh pemuda Ghiffani,
menentang kezaliman walaupun diancam

...
...aku ingin menyulam kerendahan hati Yusuf,
yang memaafkan saudaranya,
walaupun bertemankan perigi tua

...
...semoga semangat & kekentalan hati mereka,
menjadi azimat paling bernilai,
selamat menyambut Hari Pahlawan...

Adalah dimaklumkan kepada semua bahawa Jawatankuasa KRT Taman Datuk Haji Abdul Aziz dan Jawatankuasa Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz akan mengadakan MAJLIS KENDURI SYAABAN & PENYAMPAIAN BANTUAN SEMPENA BULAN RAMADHAN 1430H/2009 TAMAN DATUK HAJI ABDUL AZIZ kepada Fakir Miskin, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz seperti makluman berikut:-

Tarikh : 16 Ogos 2009 (Ahad)

Masa : 12.30 Tengahari

Tempat : Madrasah Taman Datuk Haji Abdul Aziz, Kampung Pulai

Tetamu Kehormat : YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhammad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka.

Majlis ini diadakan bersempena menyambut kedatangan Bulan Ramadhan 1430H/2009M yang akan disambut tidak lama lagi. Majlis ini juga bagi meraikan dan membantu meringankan beban Fakir Miskin, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya yang ada di Taman Datuk Haji Abdul Aziz bagi menyambut kedatangan Bulan Ramadhan AL-Mubarak dan berharap mereka akan dapat menjalankan ibadat puasa sama seperti insan-insan lain.